KKM belanja RM137 juta setahun bagi menyelenggara 201 klinik kesihatan

Bernama
Julai 31, 2024 12:21 MYT
KKM menyatakan PSK adalah program penyelenggaraan bukan komprehensif melibatkan perkhidmatan penyelenggaraan kemudahan kejuruteraan dan perkhidmatan pembersihan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membelanjakan sebanyak RM137 juta setahun bagi menyelenggara 201 buah klinik kesihatan di seluruh negara di bawah Perkhidmatan Sokongan Klinik (PSK) dengan kontrak selama 5 tahun bermula tahun 2022.
KKM dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen hari ini menyatakan PSK adalah program penyelenggaraan bukan komprehensif melibatkan perkhidmatan penyelenggaraan kemudahan kejuruteraan dan perkhidmatan pembersihan.
"Bagi tempoh lima tahun kebelakangan ini, sebanyak 65 buah klinik kesihatan telah siap dibina dengan kos projek berjumlah RM1,156,572,795 dan telah memulakan operasi bagi memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
"Buat masa ini, KKM sedang meneliti cadangan untuk bekerjasama dengan klinik kesihatan swasta bagi sesetengah perkhidmatan terutamanya perkhidmatan pencegahan, promosi dan kuratif," kata kenyataan itu.
KKM menjawab soalan Senator Dr Lingeshwaran R. Arunasalam yang ingin tahu anggaran kos untuk membina dan menyelenggara dalam setahun untuk satu klinik kesihatan, jumlah peruntukan yang dibelanjakan lima tahun kebelakangan ini serta cadangan untuk penyumberluaran perkhidmatan klinik kesihatan sebagai satu langkah yang lebih kos efektif.
Dalam isu berlainan, menjawab soalan Senator Datin Ros Suryati Alang yang ingin tahu persiapan menghadapi sebarang ancaman pandemik dan perkembangan terkini penghasilan vaksin buatan tempatan, KKM berkata kementeriannya sedang melaksanakan pelbagai langkah kesiapsiagaan.
"Antaranya, membina Pusat Kawalan Penyakit Negara yang setaraf dengan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat dan negara-negara lain.
"Projek ini telah diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) di bawah Rolling Plan 4 (2019-2020) Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) dengan kos keseluruhan sebanyak RM500 juta yang akan dibina di atas tapak seluas 20 ekar di Bandar Enstek, Negeri Sembilan," kata kenyataan itu.
Selain itu, KKM turut melaksanakan penambahbaikan berterusan dalam prosedur operasi standard (SOP) serta garis panduan berkaitan kesiapsiagaan dan respon terhadap pandemik di semua peringkat.
Dua jenis vaksin COVID-19 iaitu teknologi virus ternyahaktif dan mRNA sedang dibangunkan kementerian itu melalui penyelidikan di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan dijangkakan mengambil masa lima hingga tujuh tahun sebelum ia boleh digunakan, tambah KKM.
"Ini kerana vaksin yang dihasilkan perlu terbukti berkesan dan selamat iaitu setelah melepasi kajian klinikal fasa satu hingga tiga," katanya.
Pembangunan vaksin buatan tempatan ini diterajui bersama oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan KKM serta melibatkan kerjasama antara pelbagai agensi kerajaan dan swasta.
-- BERNAMA
#COVID-19 #MOSTI #vaksin #Klinik kesihatan