KKM belanja RM1.17 bilion tangani COVID-19
Hasimi Muhamad
Disember 3, 2020 12:58 MYT
Disember 3, 2020 12:58 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak RM1.17 bilion telah dibelanjakan Kementerian Kesihatan (KKM) setakat 31 Oktober lalu bagi membeli peralatan, bekalan perubatan, kelengkapan perlindungan diri (PPE) serta perkhidmatan lain dalam usaha mengawal pandemik COVID-19.
Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang berkata peruntukan tersebut digunakan di semua fasiliti KKM termasuk hospital, klinik kesihatan serta klinik pergigian.
Jelas beliau lagi, sebahagian besar daripada perbelanjaan itu turut digunakan untuk pembayaran elaun khas COVID-19 kepada petugas barisan hadapan KKM berjumlah RM275 juta.
“Selain itu, pembelian kelengkapan perlindungan diri berjumlah RM262 juta serta pembelian reagen dan test kit serta bayaran outsource perkhidmatan makmal swasta untuk ujian saringan COVID-19 berjumlah RM210 juta.
“Jumlah ini tidak termasuk bayaran emolumen petugas kesihatan yang terlibat dalam rawatan, kawalan dan pencegahan wabak COVID-19 yang mana telah diperuntukkan di bawah peruntukan sedia ada KKM,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, di Dewan Rakyat, di sini, pada Khamis.
Beliau menjawab pertanyaan Wan Hassan Mohd Ramli (Pas-Dungun) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah perbelanjaan menangani COVID-19 sehingga 31 Oktober lalu.
Jelas beliau, perbelanjaan tersebut daripada peruntukan yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan berjumlah RM1 bilion bagi menangani wabak COVID-19.
#Dewan Rakyat
#Kementerian Kesihatan
#COVID-19
#perubatan
#ujian saringan
#Kementerian Kewangan
#PKP