KKM arah bangunan induk HSA ditutup serta merta

Harits Asyraf Hasnan
Oktober 27, 2016 09:13 MYT
Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata arahan penutupan itu dikeluarkan bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berulang.
Kementerian Kesihatan mengarahkan Bangunan Induk, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini ditutup serta-merta bermula hari ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata arahan penutupan itu dikeluarkan bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berulang.
"Mereka akan membuat pemeriksaan daripada semua aspek kejuruteraan di blok itu termasuk pendawaian elektrik, struktur dan utiliti gas bio-perubatan dan perkara-perkara lain.
"Tempoh penutupan ini dijangka mengambil masa dalam dua hingga empat minggu bergantung kepada situasi.
"Melalui beberapa langkah ini banyak daripada perkhidmatan yang telah dijalankan oleh HSA khususnya yang telah ditempatkan di blok barat ini akan diteruskan, walaupun bukan di sini (HSA) tetapi di tempat lain," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat siasatan dan operasi di HSA di sini, hari ini.
Justeru, beberapa unit seperti Jabatan Kemalangan dan Kecemasan (A&E), Jabatan Perkhidmatan Steril Berpusat (CSSD), Unit Rawatan Rapi (ICU) dan bank darah dipindahkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Permai masing-masing di dalam daerah Johor Bahru.
Subramaniam berharap orang ramai yang sering menggunakan perkhidmatan di HSA untuk beralih ke kedua-dua hospital tersebut buat sementara waktu.
Tambah beliau, laporan lengkap daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berhubung kejadian pada Selasa lalu dijangka siap dalam tempoh 14 hari selepas kejadian itu berlaku.
Ditanya berkenaan dakwaan kononnya bangunan induk HSA tidak menerima Sijil Perakuan Bomba, Dr Subramaniam berkata beliau akan mendapatkan pengesahan lanjut daripada pihak bomba lantaran bangunan itu dibina sebelum wujud keperluan sijil tersebut.
BACA: Wad ICU Hospital Sultanah Aminah terbakar, 6 meninggal dunia
BACA: 24 jam selepas tragedi HSA: Forensik kebakaran diteruskan, pelbagai aspek diteliti
BACA: Penggera kecemasan berbunyi, cetus panik di HSA
"Pensijillan itu saya tidak tahu, hospital ini yang dibina pada abad ke-19, buat masa itu tiada keperluan untuk mendapatkan Sijil Perakuan Bomba dan selepas itu bangunan ini sudah berfungsi.
"Tetapi saya ingat setiap kali kita membuat perubahan mahupun penambahan perkhidamtan atau menggunakan alat-alat untuk bantu dalam pencegahan dan kawalan kebakaran ini semua memang melalui bomba dan mendapat pengiktirafan daripada mereka seperti yang diwajibkan," katanya.
#ditutup #HSA #ICU terbakar #Johor Bahru #Kementerian Kesihatan #subramaniam