KKM, ANMS, pempengaruh media sosial jalin kerjasama tingkat budaya hidup sihat

Astro Awani
Januari 7, 2024 00:07 MYT
Bertemakan ‘Tingkatkan Imuniti Badan’, KKM bekerjasama dengan lima pempengaruh bagi menjayakan cabaran yang berlangsung selama tiga bulan itu.
KUALA LUMPUR: Bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai budaya hidup sihat, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melancarkan ANMS Immunity Challenges melalui platform media sosial, TikTok.
Bertemakan ‘Tingkatkan Imuniti Badan’, KKM bekerjasama dengan lima pempengaruh bagi menjayakan cabaran yang berlangsung selama tiga bulan itu.
Cabaran berkonsepkan interaktif itu bukan sahaja dapat menyebarkan maklumat mengenai budaya hidup sihat malah menguji kreativiti peserta melalui penghasilan video kreatif.
Sepanjang tiga bulan kempen tersebut berlangsung, peserta boleh memilih lima cabaran yang dipertandingkan iaitu:
i. ‘ANMS Immunity Video Challenge’
ii. ‘ANMS Immunity Mental Menti Challenge’
iii. ‘ANMS Immunity Jingle Challenge’
iv. ‘ANMS Immunity Terpaling Healing’
v. ‘ANMS Immunity Dance Challenge’
Antara pempengaruh media sosial TikTok yang terlibat adalah Yazmin Aziz (@yazminaziz), Jayden Chong (@jaydenczx), Thiyagu B (@thiyagu_b), Mr. Shaque (@mistashaque) dan Nurhayati Tahir (@nurhayatitahirr_).
Peringkat pusingan pertama telah bermula pada 31 Disember lalu dan ia akan berlanjutan hingga 2 Mac depan.
Barisan pemenang pula akan diumumkan secara langsung dengan pempengaruh media sosial yang terlibat di TikTok MyHealthKKM yang dijangka diadakan pada April depan.
Cabaran yang dianjurkan di bawah inisiatif Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) itu terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas.
Untuk maklumat lanjut, ikuti TikTok rasmi MyHealthKKM di @MyHealthKKM atau layari laman sesawang https://www.infosihat.gov.my/
#Kementerian Kesihatan Malaysia #TikTok #ANMS Immunity Challenges #pempengaruh media sosial
;