KKM akui kesukaran dapatkan bekalan topeng N95, tumpu kepada KN95

Astro Awani
April 14, 2020 19:11 MYT
China telah memberikan sebanyak 100,000 topeng muka KN95 yang ada kualiti dan boleh guna. - Gambar fail/Twitter @pijholdings
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengakui kesukaran untuk mendapatkan topeng muka N95 pada ketika ini.
Justeru, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pihaknya memberi tumpuan kepada bekalan topeng muka KN95 daripada negara China.
"Mengenai topeng muka N95, kita ada kesukaran nak dapatkan topeng muka N95 sebab Amerika Syarikat tidak mengeksport lagi N95. Kita nak dapatkan KN95 dari China.
"Contohnya China telah memberikan sebanyak 100,000 topeng muka KN95 yang ada kualiti dan boleh guna. Kita akan pastikan stok kita ada untuk tempoh lebih daripada dua minggu," katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.
Justeru katanya, KKM akan memperkemaskan rangkaian pengagihan peralatan perubatan bagi memastikan bekalan perubatan di hospital mencukupi dari semasa ke semasa.
"Kalau ikutkan sekarang, kita kena lihat penggunaannya kerana pengiraan stok itu penting dan pengagihan itu penting kepada negeri dan juga ke klinik kesihatan. Rangkaian pelu diperkemaskan dari semasa ke semasa," tambahnya lagi.
#Amerika Syarikat #China #COVID19 #Dr Noor Hisham Abdullah #Hospital #Kementerian Kesihatan #kesihatan #KKM #Malaysia #Media #Noor Hisham Abdullah #perubatan
;