KKM akan umum rangka kerja penggunaan CBD tahun ini - Khairy

Fareez Azman
Julai 14, 2022 12:37 MYT
Khairi berkata rangka kerja melibatkan kajian secara sains mengenai penggunaan CBD dalam sektor kesihatan awam yang akan dilaksanakan tahun hadapan.- Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengumumkan rangka kerja berhubung pendaftaran produk cannabidiol (CBD) tertentu yang dijangka dilaksanakan tahun depan.
Menurut Menterinya Khairy Jamaluddin, rangka kerja yang akan diumumkan tahun ini itu melibatkan kajian secara sains mengenai penggunaan CBD dalam sektor kesihatan awam pada tahun hadapan.
CBD merupakan bahan kimia aktif yang ditemukan dalam tanaman ganja yang digunakan untuk tujuan perubatan.
"KKM komited berdasarkan bukti dan sains, jadi dalam erti kata lain jika sains menunjukkan arah tertentu, kita tidak boleh mengelak.
"Saya akan umumkan tidak lama lagi mengenai rangka kerja dimana kita akan mendaftarkan beberapa produk CBD tahun hadapan," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran The Centre's Drug Perception Study Report di ibu negara pada Khamis.
Tambah Khairy, beliau yakin dengan kajian sains dijalankan yang melibatkan semua kakitangan KKM.
"Saya yakin dengan kajian sains yang dijalankan, kerana saya dan semua kakitangan KKM turut terlibat dalam kajian ini.
"Bagaimana untuk kita mendaftarkan produk itu amat penting. Saya rasa kita dah bersedia, debat yang diadakan juga membantu," ujar Menteri Kesihatan.
Bagaimanapun ujar Khairy, sebagai kementerian yang mengawal selia produk farmaseutikal, terma secara berperingkat akan dilakukan.
"Saya rasa tahun depan adalah masa terbaik, saya akan umumkan rangka kerja dalam tahun ini.
"Kita akan menjemput pihak berkaitan untuk mengemukakan cadangan mengenai produk yang ingin di daftarkan.
"Bagaimana mereka ingin menerangkan pada industri kesihatan dalam menetapkan penggunaan CBD dan kaedah menggunakannya," kata Khairy lagi.
#Khairy Jamaluddin #CBD #Kajian #ganja #kanabis
;