KKM akan terus pantau ancaman varian baharu ketika fasa peralihan endemik - Khairy
Raja Hisyam Raja Zaid
Mac 9, 2022 14:26 MYT
Mac 9, 2022 14:26 MYT
KUALA LUMPUR: Keputusan untuk Malaysia beralih kepada fasa endemik boleh diteruskan setakat ini berdasarkan kepada keadaan dan keperluan semasa.
Menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, bagaimanapun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau tahap jangkitan semasa selain ancaman varian baharu yang berkemungkinan lebih berbahaya daripada varian yang ada ketika ini.
Seandainya wujud ancaman tersebut katanya, pihak KKM berkemungkinan akan menasihatkan kerajaan termasuk jemaah menteri untuk menilai semula mengikut keperluan.
Ini termasuk kewujudan varian baharu yang mungkin lebih berbahaya daripada Omicron yang sedia ada ketika ini.
“Dengan data pemerhatian yang kita ada ketika ini, kita yakin bahawa peralihan ini adalah sehala.Tetapi sebagai Kementerian Kesihatan Malaysia, kita tidak boleh tolak kemungkinan berlaku varian baharu ataupun perubahan dari segi sifat epidemiologi virus ini.
“Sebagaimana contohnya, kita telah capai tahap di mana sistem kesihatan kita lumpuh, kita akan syorkan kepada kerajaan langkah-langkah tertentu,” jelasnya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Tambahnya lagi, bagaimanapun KKM ketika ini masih melihat bahawa transisi peralihan fasa pandemik dan endemik boleh diteruskan.
Namun pihak KKM katanya akan terus melakukan pemantauan yang rapi dari semasa ke semasa bagi menjamin keselamatan rakyat.
Beliau bagaimanapun mengakui bahawa fasa peralihan seperti mana yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam penting untuk memastikan kehidupan kembali normal.
Bagaimanapun, risiko jangkitan jelasnya tetap berterusan dan meningkat memandangkan pintu sempadan negara akan dibuka sepenuhnya menjelang April nanti.
Justeru tahap imuniti rakyat di negara ini seharusnya ditingkatkan dari semasa ke semasa.
Ia memandangkan masih terdapat golongan yang belum menerima suntikan vaksin sewajarnya termasuk dos penggalak.
“Fasa peralihan amat penting kerana ia jalan keluar untuk kembali kepada hidupan yang hampir normal.. kita merayu kepada rakyat Malaysia untuk dapatkan dos penggalak sebelum 1 April,” katanya lagi.