KKM akan percepat pembukaan Hospital Sri Aman - Khairy

Shafik Ahmad
September 26, 2021 15:04 MYT
Untuk rekod, Hospital Sri Aman yang dijangka siap sepenuhnya pada Oktober ini menelan belanja sejumlah RM192 juta melibatkan dua fasa pembinaan. - Astro AWANI
KUCHING: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mempercepatkan pembukaan Hospital Sri Aman sekali gus menampung keperluan fasiliti perubatan yang dihadapi Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching.
Menterinya, Khairy Jamaluddin mendedahkan, Kerajaan Negeri Sarawak telah menyatakan permohonan agar pembukaan hospital disegerakan.
Malah, katanya ia secara tidak langsung akan mengurangkan beban ditampung HUS dalam menguruskan pesakit COVID-19 dan pesakit lain yang memerlukan perhatian pakar.
“Kita (KKM) telah menerima permintaan daripada kerajaan negeri untuk membuka Hospital Sri Aman secepat mungkin.
“Kita sedang melihat bagaimana kita hendak mempercepatkan pembukaan Hospital Sri Aman. Ini kerana apabila hospital dibuka ia akan mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh HUS di Kuching,” katanya.
BACA: COVID-19: Sarawak negeri pertama beri dos penggalak - Khairy
BACA: Penyumberluaran: Sarawak diberi peruntukan tambahan RM3 juta - Khairy
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Khas Imunisasi dan Pengurusan Pandemik COVID-19 di Wisma Bapa Malaysia, di sini, pada Ahad.
Kesihatan | Pembukaan Hospital Sri Aman akan dipercepat
Untuk rekod, Hospital Sri Aman yang dijangka siap sepenuhnya pada Oktober ini menelan belanja sejumlah RM192 juta melibatkan dua fasa pembinaan.
Hospital ini bakal menempatkan 108 katil dan dilengkapi peralatan perubatan pakar yang akan beroperasi sepenuhnya secara berperingkat.
[TERKINI] Sidang Media Menteri Kesihatan di Sarawak | 26 Sept 2021
#Hospital Sri Aman #COVID-19 di Sarawak #fasiliti kesihatan Sarawak #Khairy Jamaluddin
;