KKM akan hantar 11 ventilator baharu ke Sarawak

Astro Awani
April 20, 2021 20:05 MYT
Terdahulu, KKM telah menghantar 10 unit ventilator Unit Rawatan Rapi (ICU) sedia ada jenis Draeger Evita 4 yang telah digunakan di Hospital Sungai Buloh susulan peningkatan kes mendadak di Sarawak. FOTO: REUTERS
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menghantar 11 unit alat bantuan pernafasan baharu ke Sarawak Jumaat ini.
Demikian jaminan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), Dr Chin Zin Hing yang turut menyatakan bahawa hospital di negeri itu masih memerlukan alat bantuan pernafasan yang lebih banyak berdasarkan peningkatan kes positif COVID-19 di sana.
“Kesemua alat bantuan pernafasan itu akan tiba pada Jumaat ini dan akan diagihkan ke Sibu, Sarikei dan Bintulu.
“Kita (Sarawak) memerlukan lebih alat ini kerana keperluan penggunaan meningkat dan apa yang ada pada ketika ini masih belum mencukupi.
“Namun kita tetap cuba menangani perkara ini sebaik mungkin dan mendapatkan alat bantauan pernafasan yang lebih kerana kita tidak menjangkakan apabila berlakunya kenaikan kes,” katanya.
Selasa lalu, KKM telah menghantar 10 alat bantuan pernafasan ke Sarawak namun dilaporkan semuanya tidak berfungsi.
Justeru, pihak JKNS telah melaporkan perkara tersebut kepada KKM untuk tindakan lanjut.
Sementara itu menerusi kenyataan oleh KKM pada Selasa mengesahkan kerosakan berlaku berkemungkinan berpunca dari proses pengangkutan peralatan tersebut ke fasiliti-fasiliti yang telah ditetapkan.
Selain itu kenyataan itu menambah, perkata itu terjadi berkemungkinan kerana sensor oksigen dan papan litar utama yang sangat sensitif terhadap getaran, suhu dan kelembapan semasa pengangkutan.
Terdahulu, KKM telah menghantar 10 unit ventilator Unit Rawatan Rapi (ICU) sedia ada jenis Draeger Evita 4 yang telah digunakan di Hospital Sungai Buloh susulan peningkatan kes mendadak di Sarawak.
Kesemua 10 ventilator tersebut yang telah diuji dan berada dalam keadaan baik telah dihantar ke beberapa hospital di Sarawak melalui penerbangan Malaysia Airlines pada 12 April 2021.
Antara hospital-hospital yang menerima bantuan tersebut adalah Hospital Sarikei, Hospital Sibu (dan Hospital Bintulu.
#COVID-19 di Sarawak #alat bantuan pernafasan #Kementerian Kesihatan Malaysia #KKM #JKNS #kes baharu di Sarawak #terkini COVID-19 Malaysia
;