KKM akan bincang keperluan vaksinasi COVID-19 secara tahunan - Timbalan Menteri Kesihatan

Hasimi Muhamad
Oktober 6, 2021 17:50 MYT
Dr Noor Azmi berkata, perbincangan akan dijalankan setelah hasil kajian antarabangsa dan data klinikal berhubung keperluannya diperolehi - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan membincangkan keperluan untuk memberikan vaksinasi COVID-19 secara tahunan kepada penduduk negara ini.
Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, perbincangan akan dijalankan setelah hasil kajian antarabangsa dan data klinikal berhubung keperluannya diperolehi.
Dalam masa yang sama, beliau berkata kerajaan juga merancang memberi fokus kepada pemberian dos penggalak kepada kumpulan berisiko tinggi.
"Ia termasuk anggota barisan hadapan kesihatan, pesakit kurang daya tahan imun (immunocompromised), warga emas dengan komorbiditi dan individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang.
"Adalah dianggarkan seramai 7.15 juta individu daripada kumpulan tersebut dijangka terlibat dalam pemberian dos ketiga dan booster dose vaksin nanti," katanya ketika sesi Penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.
#COVID-19 #KKM #vaksinasi #dos penggalak
;