KKLW sedia bantu hadapi banjir gelombang kedua di Pantai Timur

Hilal Azmi
Disember 6, 2017 17:42 MYT
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) ketika Majlis Pelancaran 'Survival Kit' Prihatin@ KKLW di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) hari ini. - Foto BERNAMA
Gelombang kedua banjir dijangka bakal melanda negeri di Pantai Timur Semenanjung Jumaat ini.
Sebagai persediaan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) akan mengedarkan 'survival kit' kepada mangsa banjir terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata gelombang kedua banjir dibimbangi mengakibatkan kesan lebih buruk kepada mangsa.
"Kita bimbang ada gelombang kedua jadi, kita bersedia lebih awal. Jumlah sukarelawan kita pun dah bertambah untuk bersiap sedia jika berlaku banjir di Pantai Timur," katanya semasa melancarkan Survival Kit Prihatin @ KKLW di UniKL pada Rabu.
Jelasnya, survival kit ini penting sebagai memenuhi keperluan asas diri ketika di pusat pemindahan mahupun setelah pulang ke kediaman pasca banjir.
Sebanyak 4,000 pakej survival kit disediakan yang mengandungi barangan keperluan asas seperti tuala, sabun, syampu, berus dan ubat gigi, lampu suluh dan bateri, kain sarung, snek, air mineral dan juga mini first aid.
Sehingga kini, seramai 4,416 Sukarelawan Prihatin @ KKLW terbabit dalam misi bantuan banjir sejak 14 November lalu membabitkan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang serta Pulau Pinang.
#banjir kelantan #Banjir pantai timur #Banjir Pulau Pinang #bantuan banjir #ismail sabri yaakob #Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah #Kit Survival Prihatin KKLW #KKLW #Sukarelawan Prihatin KKLW
;