KKIA tidak lagi mampu tampung penumpang udara pada masa depan

Bernama
Julai 20, 2022 13:06 MYT
KKIA mempunyai kapasiti 9 juta penumpang setahun dan jumlah penumpang udara pada 2019 melalui lapangan terbang itu adalah 9.4 juta. - Google Earth
KOTA KINABALU: Ada keperluan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dipindahkan ke lokasi lebih sesuai kerana dilihat tidak lagi mampu menampung kemasukan penumpang udara pada masa hadapan, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu hari ini.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir berkata KKIA mempunyai kapasiti 9 juta penumpang setahun dan jumlah penumpang udara pada 2019 melalui lapangan terbang itu adalah 9.4 juta, melebihi kapasiti diletakkan.
Katanya, walaupun COVID-19 menurunkan kemasukan penumpang udara melalui KKIA, dengan 2.3 juta setahun pada 2020 dan 2.1 juta setahun pada tahun lepas, jumlah kemasukan penumpang udara dijangka pulih dalam tempoh tiga tahun lagi.
"Sabah mempunyai potensi amat besar dalam pelancongan. Aliran trafik pasti akan meningkat dari semasa ke semasa. Pembangunan Bandaraya Kota Kinabalu yang pesat mungkin tidak dapat menampung keperluan menaik taraf lapangan terbang sedia ada di masa hadapan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Phoong Jin Zhe (DAP-Luyang) yang bertanya tentang rancangan pemindahan KKIA, yang juga pintu masuk utama ke Sabah, dari Kota Kinabalu ke Kimanis.
Menjawab soalan tambahan Phoong tentang adakah kajian dilakukan bagi mengekalkan KKIA di Kota Kinabalu, Abidin berkata semua faktor diambil kira dalam kajian itu bagaimanapun maklumat awal mendapati kapasiti KKIA hanya sesuai dinaik taraf hingga 18 juta penumpang setahun.
Bagaimanapun, beliau berkata Sabah dijangka menerima kedatangan 36 juta penumpang pada 2035, justeru langkah awal perlu dilakukan bagi memastikan lapangan terbang itu mampu menampung kedatangan pelancong dan tidak memberi kekangan kepada sektor pelancongan negeri.
"Adakah kita ini mahu tunggu berlaku kesesakan baru ada perancangan, lebih baik kita rancang sekarang. Kita harus lihat ini secara positif contohnya penempatan semula lapangan terbang Subang ke Sepang memberi limpahan ekonomi kepada Sepang, dan kita harap Kimanis juga begitu.
"Kota Kinabalu ini memerlukan kawasan luas untuk pembangunan, tetapi apabila ada lapangan terbang ada pembangunan tertentu tidak sesuai untuk laluan penerbangan. Lebuhraya Pan Borneo juga nanti akan memudahkan pengkangkutan dari Kota Kinabalu ke Kimanis," katanya.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata kerajaan negeri dan anak syarikatnya Qhazanah Sabah Berhad tidak membuat sebarang pembayaran kepada Berjaya Land Berhad dalam kerjasama untuk mengkaji kebolehlaksanaan memindahkan KKIA ke Kimanis.
"Kita setuju lantik (Berjaya Land) kerana kita yakin ini syarikat berpengalaman dan saya yakin mereka juga akan buat engagement dengan konsultan pakar dalam perkara ini. Kepentingan kerajaan negeri juga dapat kita jaga dengan penglibatan Qhazanah Sabah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) yang bertanya kriteria pemilihan Qhazanah Sabah dan Berjaya Land untuk melaksanakan kajian tersebut.
-- BERNAMA
#KKIA #Kota Kinabalu #penumpang #lapangan terbang
;