KKDW sedia bincang dengan PETRA berkaitan isu air di Sabah, Sarawak

Bernama
Julai 15, 2024 23:00 MYT
Rubiah (tengah) bergambar selepas mengacau bubur asyura sempena majlis Perhimpunan Bulanan KEDA di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, Alor Setar, 15 Julai 2024. --fotoBERNAMA
ALOR SETAR: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersedia mengadakan perbincangan dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Tranformasi Air (PETRA) berkaitan isu projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Sabah dan Sarawak.
Timbalan Menterinya Datuk Rubiah Wang berkata pihaknya mengalu-alukan perbincangan itu sebagai usaha mencari jalan penyelesaian terbaik dan berkesan bagi memastikan rakyat di kedua-dua negeri berkenaan menikmati bekalan air bersih.
"Kita (KKDW) bersedia mengadakan rundingan ataupun perbincangan dengan agensi lain terutamanya daripada PETRA yang bersama-sama menjalankan pengurusan air negara sebab kita tahu untuk kita melaksanakan program bekalan air luar bandar ini bukannya mudah kerana melibatkan tanah dan kerajaan negeri.
"Kalau kita pasang paip, kalau sumber air tak ada memang tak boleh, tak ada air lah. Paip ada tapi keluar anginlah... kalau ada inisiatif nak berunding dengan kita, jadi berbincang dengan kita, kita alu-alukan, malah sebenarnya kita pun nak mengambil tindakan yang sama supaya setiap projek yang diluluskan itu ada arah dan tidak ada masalah selepas siap," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di sini semalam.
Rubiah berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof untuk mengadakan perbincangan dengan KKDW bagi membincangkan projek BALB di Sarawak dan Sabah.
Perbincangan itu sebagai mencari penyelesaian kepada isu berkaitan air seperti dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2024 Siri 2 yang dikeluarkan pada 5 Julai lepas.
Menurut laporan itu, gangguan bekalan air di Sarawak dan Sabah yang tidak ditangani dengan baik menyebabkan penduduk luar bandar di kedua-dua negeri masih tidak dapat menikmati air bersih dan terawat serta tidak mencapai objektif yang telah ditetapkan.
Rubiah berkata sehingga kini pihaknya masih menerima permohonan bekalan air bersih di kedua-dua negeri itu.
"Sabah dan Sarawak memang banyak kawasan yang belum dicakupi, maksudnya jadi permohonan itu memang masih ada dan kita memerlukan orang kata peruntukan yang agak besarlah sebenarnya... tetapi kita tak boleh buat secara menyeluruh kerana peruntukan yang kita peroleh pun berdasarkan apa yang kita minta tak semua yang dapat.
"... jadi kita hanya dapat melaksanakan di beberapa kawasan sahaja selain itu faktor bentuk muka bumi dan taburan penduduk turut mempengaruhi masalah pembekalan air terutama di kawasan pedalaman," katanya.
-- BERNAMA
#Sabah dan Sarawak #Laporan Ketua Audit Negara #bekalan air #Rubiah Wang