KKDW peruntuk RM1.7 juta pergiat program pendigitalan usahawan
Bernama
Oktober 17, 2023 04:30 MYT
Oktober 17, 2023 04:30 MYT
ALOR SETAR: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan RM1.7 juta pada tahun ini bagi mempergiatkan Program Pendigitalan Usahawan (PPU) dalam kalangan usahawan luar bandar di bawah bimbingan kementerian itu.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KKDW Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata kementerian itu melaksanakan enam siri program berkenaan pada 2023 yang melibatkan penyertaan 1,818 usahawan di enam lokasi termasuk di Alor Setar, Kedah.
"Siri pertama di Putrajaya melibatkan penyertaan seramai 185 usahawan; siri kedua di Kuching (369 usahawan); siri ketiga di Kuala Terengganu (404 usahawan); siri empat di Shah Alam ( 289 usahawan); siri lima di Johor Bahru (269 usahawan) dan siri enam di Alor Setar (302 usahawan).
"Kami sasarkan 1,000 usahawan untuk PPU pada tahun ini, tetapi ia telah melepasi sasaran dengan lebih (1,000 peserta) (iaitu) 1,818 usahawan menyertai program ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan PPU Siri Enam di sini pada Selasa.
Che Murad berkata PPU yang dilaksanakan sejak tahun lepas itu merupakan program yang memberikan pendedahan secara langsung dan praktikal bagi memasarkan produk secara dalam talian melalui platform e-Dagang.
"Bermula daripada pandemik COVID-19 ramai yang mengeluh kerana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kerana mereka tidak dapat menjalankan perniagaan seperti biasa. Tetapi melalui secara dalam talian ini, mereka lihat ada ruang untuk mereka bergerak.
"Jadi kami lengkapkan mereka dengan program sebegini untuk menambah pengetahuan dan meluaskan lagi pemasaran mereka menerusi platform digital," katanya yang turut memaklumkan seramai 706 usahawan mendapat manfaat melalui penganjuran PPU pada tahun lepas.
Mengulas lanjut, beliau berkata KKDW menjalinkan kerjasama strategik bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) buat pertama kalinya dalam pelaksanaan PPU pada siri enam kali ini di Alor Setar.
Che Murad berkata ia sebagai sebahagian usaha untuk merapatkan jurang digital antara usahawan desa dengan usahawan di bandar melalui peluasan penggunaan teknologi dan aplikasi digital dalam pengurusan dan pemasaran perniagaan.
"(Kesan positif daripada pelaksanaan) program ini, ramai usahawan yang telah saya temui, mereka mengatakan bahawa pendapatan mereka meningkat daripada 10 hingga 30 peratus...PPU ini akan diteruskan lagi pada tahun depan," katanya.
Sementara itu, seorang usahawan yang menyertai PPU Siri Enam di Alor Setar, Muhammad Al Ahnaf Mohd Roslan, 22, dari Dungun, Terengganu berkata beliau mendapat pendedahan ilmu pemasaran digital bagi mengetengahkan produk sayur-sayuran ditanamnya untuk dijual dalam pasaran lebih meluas.
"Produk saya pertanian, saya mengusahakan tanaman sayur-sayuran di tanah seluas setengah ekar. Saya jual sendiri terus kepada pengguna tetapi pasarannya tidak besar.
"Oleh itu, melalui platform program ini dapat berikan saya pendedahan untuk pasarkan produk saya dengan lebih meluas dan saya dapat jual terus kepada pengguna tanpa menggunakan orang tengah," katanya.
Seorang lagi usahawan Noor A'qilah Abd Samad, 35, dari Sungai Petani yang menjual baju Kedah berkata beliau dapat mempelajari ilmu pemasaran digital dengan berkesan apabila memperoleh banyak maklumat tentang platform e-dagang seperti Lazada dan Shopee.
"Sebelum ini saya banyak berniaga di Instagram, Facebook dan TikTok. Melalui program ini, saya dah dapat pendedahan tentang Lazada dan mungkin selepas ini saya akan menggunakan platform Lazada juga untuk menjual baju Kedah saya ini," katanya.
PPU Siri Enam di Alor Setar itu berlangsung selama dua hari bermula semalam.
-- BERNAMA