KKDW peruntuk RM1.7 bantu 1,200 usahawan desa kuasai pendigitalan
Bernama
Februari 26, 2024 04:30 MYT
Februari 26, 2024 04:30 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan RM1.7 untuk membantu 1,200 usahawan luar bandar beralih kepada pendigitalan pada tahun ini.
Ketua Setiausaha KKDW Datuk Seri Ramlan Harun berkata peruntukan itu disalurkan untuk memberikan pendedahan secara langsung dan praktikal mengenai pendigitalan perniagaan kepada golongan berkenaan antaranya Program Pendigitalan Usahawan Desa (PPU).
"PPU di bawah Program Desamall ini ialah inisiatif tambahan yang dilaksanakan oleh kementerian untuk merapatkan jurang digital dengan membantu usahawan desa meningkatkan produktiviti, kecekapan dan sebagai kesediaan menjalankan perniagaan secara dalam talian selaras perkembangan teknologi terkini dan situasi ekonomi semasa," katanya dalam kenyataan semalam.
Ramlan berkata, program itu yang dirasmikan di Kota Damansara, Selangor semalam telah membantu usahawan menambah baik operasi perniagaan selain mengembangkan perniagaan dan meningkatkan produktiviti serta kecekapan pengurusan perniagaan.
"Perkembangan positif ini direalisasikan melalui pendedahan dan latihan mengenai aplikasi digital perniagaan terkini dan bantuan berkaitan pendigitalan perniagaan yang diberikan KKDW dan 22 rakan strategik yang terlibat.
"Ia merangkumi pendigitalan kewangan, tempat jualan atau gudang digital, pengurusan gerbang bayaran, akses Internet yang optimum, aplikasi perkhidmatan atas permintaan dan platform e-dagang," katanya.
Ramlan berkata bimbingan lain yang diberikan termasuk peruncitan digital, route to halal, tanda dagangan, penghasilan kandungan dan pemasaran afiliasi, peningkatan perniagaan dari taraf Nano ke Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) serta yang terkini, solusi teknologi kecerdasan buatan (A.I.) dan kecerdasan pelanggan (C.I), dalam membantu usahawan mengenal pasti keperluan perusahaan mereka.
"Secara keseluruhan sebanyak sembilan siri program telah dilaksanakan pada tahun 2022 dan 2023 dengan penyertaan seramai 2,524 usahawan yang menerima manfaat daripada program ini," katanya.
Dalam pada itu, Ramlan berkata bagi memastikan pengurusan logistik dan penyimpanan stok produk usahawan diperkemas dan diuruskan dengan lebih baik, Pentadbir Desamall iaitu syarikat eLokal Sdn Bhd telah mengambil inisiatif dalam penyewaan sebuah gudang Desamall yang baharu di EmHub, Kota Damansara.
Gudang berkeluasan 4,000 kaki persegi itu katanya berfungsi untuk pengumpulan dan penyimpanan stok produk usahawan luar bandar yang menyertai Program Desamall.
-- BERNAMA