KKDW pantau KPI 100 syarikat, agensi - Ahmad Zahid

Bernama
Februari 5, 2024 21:15 MYT
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan pada Majlis Amanat Bersama Ahli Lembaga Pengarah serta Pegawai Eksekutif Syarikat Milikan Tunggal Agensi Kementerian Kmajuan Desa dan Wilayah di sini hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) membuat pemantauan terhadap petunjuk prestasi utama (KPI) yang membabitkan 100 syarikat dan anak syarikat di bawah kementerian itu.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata setakat ini, 23 syarikat telah ditutup disebabkan ketidakupayaan untuk beroperasi.
Pada masa sama, beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi untuk menukar kepimpinan dalam syarikat atau agensi KKDW sekiranya prestasi syarikat merosot atau gagal mencapai KPI yang ditetapkan tanpa asas yang kukuh.
"Saya mahu ahli lembaga pengarah dan ketua pegawai eksekutif bergiat lebih aktif dan memahami tanggungjawab yang telah diberikan.
"Setiap keputusan yang diambil mestilah mendahulukan kepentingan syarikat dan agensi terutamanya dalam keputusan yang melibatkan kewangan, pelaburan atau perolehan," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah kepada Pengerusi, Ahli Lembaga Pengarah Syarikat dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Milikan Agensi KKDW di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata KKDW akan mengadakan permukiman semula pada Julai ini untuk menilai prestasi setiap syarikat berdasarkan pendekatan yang akan dilakukan.
Justeru, beliau mencadangkan lima langkah sebagai anjakan syarikat dan agensi demi melonjakkan keberhasilan antaranya membuat perancangan strategik dan analisis menyeluruh tentang operasi semasa syarikat, kedudukan pasaran serta mencari ruang baharu yang berpotensi untuk pertumbuhan.
Pengurusan syarikat juga katanya, perlu melaksanakan pemantapan operasi dengan mengurangkan kos yang tidak perlu dan memaksimumkan produktiviti, membuat keputusan berasaskan data, menjalankan perkongsian pintar dan mengukur prestasi serta penambahbaikan berterusan.
Beliau juga mengingatkan kepada pengurusan tertinggi syarikat dan agensi untuk bertindak amanah dan jujur kepada syarikat dan pemegang saham pada setiap masa, berbincang secara profesional dan terbuka selain berhati-hati apabila melakukan sebarang tindakan.
Dalam amanatnya, Ahmad Zahid berkongsi jumlah pendapatan syarikat subsidiari pada tahun lepas mencecah hampir RM4 bilion, dengan keuntungan selepas cukai melebihi RM100 juta.
-- BERNAMA
#KKDW #Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah #KPI #Ahmad Zahid Hamidi
;