KKDW jayakan program keusahawanan untuk anak muda di desa - Zahid

Astro Awani
Februari 15, 2023 03:56 MYT
Ahmad Zahid menjelaskan, KKDW telah menggariskan lapan strategi utama dengan melibatkan 16 program dalam usaha memperkasakan golongan belia di desa. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Desa dan Wliayah (KKDW) menjayakan keusahawanan anak muda bagi memperkasakan golongan tersebut di desa atau luar bandar.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata untuk itu KKDW bekerjasama dengan 12 kementerian lain bagi mencapai misi itu.
Ahmad Zahid menjelaskan, KKDW telah menggariskan lapan strategi utama dengan melibatkan 16 program dalam usaha memperkasakan golongan belia di desa.
"Dalam hal ini kita melihat bahawa terdapat kolaborasi dengan kementerian-kementerian yang lain bagi memastikan usaha ini mencapai matlamatnya.
"Kita tidak bergerak secara silo, terdapat jalinan kerjasama dengan kementerian berkaitan, terutama dalam kursus TVET yang memfokuskan kursus usahawan.
"Jika perniagaan itu besar, kita bekerjasama juga dengan institusi kewangan untuk tujuan pembiayaan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang bertanya mengenai pembaharuan yang dibawa kementerian dalam menjadikan KKDW mesra anak muda dan cakna kepada isu kemaslahatan dan kemajuan desa.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata beberapa inisiatif turut dilaksanakan termasuk Program Start Right (PSR) serta pembaharuan dalam pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Selain itu menurutnya program TVET Junior, TVET Tahfiz, TVET Aras Tinggi, Program Teknousahawan TVET dan Program Pendigitalan TVET yang akan menjadi kerangka asas KKDW memartabatkan TVET seterusnya memenuhi permintaan pasaran.
Beliau berkata pada masa ini kebolehpasaran graduan TVET berada di tahap 90.4 peratus membuktikan kursus yang ditawarkan memenuhi kehendak pasaran.
Sementara itu menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai gelanggang futsal terbuka yang terbiar dan tidak diselenggara, Ahmad Zahid berkata mana-mana Ahli Parlimen boleh terus memohon kepada kementeriannya bagi urusan baik pulih atau pembinaan kemudahan berkenaan.
"Itu jalinan kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan, tetapi Yang Berhormat boleh memohon secara terus kepada saya, untuk naik taraf walaupun berbeza parti politik, Kerajaan Perpaduan akan memberikan layanan dan santunan yang sama kepada semua pihak," katanya.
#Zahid Hamidi #KKDW #TVET #Dewan Rakyat