KKDW diberi RM460.2 juta untuk pembangunan PPRT
Umavathi Ramayah
Julai 28, 2023 18:57 MYT
Julai 28, 2023 18:57 MYT
DUNGUN: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerima peruntukan RM460.2 juta bagi membiayai Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang melibatkan 15,272 unit rumah di Terengganu, pada tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah itu merangkumi peruntukan RM244.4 juta bagi pembinaan 3,030 unit rumah baharu sementara baki untuk pembaikpulihan.
"Peruntukan PPRT bagi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) adalah sebanyak RM2,160,000 melibatkan 76 unit rumah merangkumi 20 unit (RM1,320,000) untuk bina baharu dan 56 unit (RM840,000) untuk baik pulih," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sentuhan Kasih Desa Terengganu di Kompleks Sukan Ketengah Bandar Al Muktafi Billah Shah di sini, pada Jumaat.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu memaklumkan, KKDW turut menerima peruntukan di bawah Program Peningkatan Pendapatan (PPP) sebanyak RM12 juta membabitkan bantuan Program Peningkatan Pendapatan (PPP)-Individu dan PPP-Mentor Mentee, tahun ini.
Menurutnya, 84 individu dijangka menerima manfaat itu di Terengganu dengan sebanyak RM797,250 disalurkan kepada agensi pelaksana, manakala bantuan PPP diterima 30 peserta Ketengah berjumlah RM252,000.