KKDW arah bina semula jambatan, jeti runtuh di Pulau Pababag
Sinar Harian
Februari 2, 2023 22:00 MYT
Februari 2, 2023 22:00 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah menyerahkan Surat Arahan Pelaksanaan kepada Pejabat Daerah Semporna, Sabah bagi pembinaan semula jambatan dan jeti di Pulau Pababag yang runtuh baru-baru ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebanyak RM400,000 disalurkan bagi tujuan itu.
"Saya berharap agar pembinaan jambatan dan jeti ini dapat dilaksanakan dengan segera bagi membantu 151 murid sekolah dan 35 murid Tadika Kemas serta penduduk kampung yang terjejas pergerakan harian mereka," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini satu rakaman video memaparkan murid lengkap berpakaian sekolah terjatuh ke dalam laut jambatan runtuh menjadi tular di media sosial.
Dalam kejadian itu dua murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Pababag mengalami kecederaan manakala 23 yang lain selamat selepas terjatuh ke laut apabila jeti kampung berkenaan roboh dalam kejadian awal pagi Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, tiga guru terpaksa terjun ke laut demi menyelamatkan murid yang terjatuh ketika itu. - Sinar Harian