KKDW akan pastikan projek di bawah RMK12 di Sarawak disiapkan

Bernama
November 2, 2024 23:15 MYT
Ahmad Zahid menyampaikan bantuan Yayasan Pelajaran MARA kepada murid sekolah pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Enteri Lengkoi Samu Ulu Paku, Spaoh hari ini. - Gambar Bernama
BETONG: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan memastikan semua projek di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Sarawak dilaksanakan sepenuhnya sebelum RMK13 bermula.
Menteri berkenaan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata ini dilakukan sebelum kerajaan pusat mengenal pasti projek baharu yang akan dimasukkan dalam RMK13.
"Sebagaimana yang pernah saya sebutkan bahawa jalan yang menyambungkan pekan atau bandar ke Lebuhraya Pan Borneo mesti diberikan keutamaan kerana kita mahu pembangunan itu melebar ke kawasan di perdesaan atau luar bandar," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Enteri Lengkoi, Samu Ulu Paku, Spaoh di sini hari ini.
Ahmad Zahid, juga Timbalan Perdana Menteri, berkata kerajaan pusat komited dalam memastikan pembangunan seimbang yang berterusan di semua wilayah di Malaysia.
Beliau berkata apa yang penting ialah jalinan kerjasama di antara kerajaan pusat dan negeri bagi memastikan pembangunan terus berlaku.
"Jalinan ini bukan hanya terdapat di dalam hubungan rasmi tetapi yang lebih penting adalah hubungan peribadi atau personal networking yang banyak membantu keselarasan bukan soal pembangunan sahaja tetapi juga berimbangan kemajuan di antara wilayah," katanya.
-- BERNAMA
#Lebuhraya Pan Borneo #RMK12 #pembangunan seimbang #projek baharu
;