KKDW akan manfaat dana RM11 bilion untuk teliti kesan mobiliti sosial

Nickyson Nyambar
Mac 14, 2023 22:09 MYT
Ahmad Zahid yang muncul dalam program Agenda AWANI berkata, berlakunya perubahan minda apabila terdapatnya perpindahan penduduk ke satu-satu tempat. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Peruntukan RM11.04 bilion yang diterima Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) turut akan digunakan untuk memyelesaikan kesan-kesan melibatkan sosial mobiliti secara mendatar (Horizontal Social Mobility).
Menurut Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, perpindahan penduduk ke satu-satu kawasan mempunyai kesan sosialnya tersendiri
"Hakikatnya, apabila berlakunya migrasi dalam bentuk sosial mobiliti secara mendatar, maksudnya perpindahan dari kawasan luar bandar ke kawasan bandar atau kawasan pinggir bandar, apakah kesan sosialnya.
"Dalam keadaan ini lah KKDW memfokuskan kepada beberapa program menggunakan peruntukan yang diberikan bernilai RM11.04 bilion ini. Di manakah fokus-fokus kita?" katanya ketika ditemu bual dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Ujar beliau, berlakunya perubahan minda apabila terdapatnya perpindahan penduduk ke satu-satu tempat.
Sebelum ini, KKDW diperuntukkan lebih RM11 bilion dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahmad Zahid memberitahu bahawa kementeriannya akan memanfaatkan dana itu untuk pemugaran (pemulihan semula) desa serta memperkasa penduduk desa dalam mendepani cabaran globalisasi.
Agenda AWANI: Pasca 100 hari Kerajaan Perpaduan
Antara lain, beliau menegaskan, pihaknya juga akan melaksanakan pemantauan berkala bagi program-program utama melalui Dashboard KKDW.
Horizontal social mobility merupakan terma yang menjelaskan mengenai kebolehan seseorang individu untuk berubah dari segi kelas sosial ke kelas sosial dalam masyarakat.
Perubahan itu berlaku berdasarkan keupayaan dan kerja kelas tanpa mengira status sosial asal individu itu ketika lahir.
Perubahan itu membawa impak positif kepada pembangunan negara termasuk meningkatkan produktiviti, kesepaduan sosial yang lebih besar, mengurangkan ketidaksamarataan dan meningkatkan peluang inovasi.
#Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah KKDW #Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi #Timbalan Perdana Menteri #Horizontal Social Mobility
;