KKD tepis tohmahan kerajaan sekat kebebasan bersuara

Hasimi Muhamad
Ogos 19, 2023 18:23 MYT
Fahmi ditemui media selepas melancarkan kempen Astro #DemiNegaraku dan Home of Kids di sini pada Sabtu. - Foto Astro AWANI
PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menepis tohmahan bahawa Kerajaan Perpaduan seolah-olah agresif dalam menyekat kebebasan bersuara susulan beberapa laman sesawang berita didakwa telah disekat.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata setakat ini kerajaan tidak menyekat mana-mana media rasmi atau agensi berita yang berdaftar di bawah Jabatan Penerangan Malaysia.
“Itu adalah jaminan, dan pada masa sama secara amnya saya boleh kata, kita tidak boleh benarkan sekiranya ada maklumat yang salah atau berunsur fitnah untuk dipermainkan oleh mana-mana pihak.
“Walaupun ada kebebasan media, kita tidak bebas memfitnah atau menyebarkan maklumat yang salah,” katanya kepada media selepas melancarkan kempen Astro #DemiNegaraku dan Home of Kids di sini pada Sabtu.
Mengulas mengenai tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap TV Pertiwi, Fahmi berkata kementeriannya akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada suruhanjaya berkenaan.
Jelas beliau, setakat ini siasatan sedang dijalankan.
“Jadi saya akan teliti perkara ini dan sekiranya perlu, saya minta SKMM untuk bagi penjelasan.
“Tetapi sekiranya ada aspek-aspek penyiasatan maka, kita tidak boleh masuk campur dalam hal itu. Saya akan semak dulu dengan pihak SKMM,” tambahnya.
Sementara itu, Fahmi memuji usaha Astro memperkenalkan inisiatif ‘Kids Friendly Profile’ sebagai langkah menyediakan saluran maklumat dan hiburan yang selamat kepada kanak-kanak.
Justeru, beliau berharap lebih ramai syarikat penyedia perkhidmatan boleh menawarkan ciri yang sama.
“Kita tahu pada waktu ini ada beberapa penyedia perkhidmatan sekiranya mana-mana pihak itu belum ada ciri-ciri yang sama, saya harap mereka dapat melakukan perkara yang sama.
“Tetapi kita tahu beberapa OTT platform penstriman ada ciri-ciri tersebut. Cuma harap semua lebih banyak dapat turut serta menyedia ruang yang sihat dan selamat terutama kepada anak-anak,” ujarnya lagi.
#Kementerian Komunikasi dan Digital #Fahmi Fadzil #kebebasan bersuara #Kerajaan Perpaduan #TV Pertiwi #SKMM
;