KKD teliti guna teknologi satelit sebagai menara telekomunikasi

Bernama
November 27, 2023 18:35 MYT
Fahmi berkata sekiranya teknologi itu dapat dilaksanakan, dasar "di mana ada jalan, di situ ada Internet" dapat dicapai dan dilaksanakan. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti penggunaan teknologi satelit sebagai menara telekomunikasi dalam usaha menambah baik sistem komunikasi di negara ini.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata sekiranya teknologi itu dapat dilaksanakan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi, dasar "di mana ada jalan, di situ ada Internet" dapat dicapai dan dilaksanakan dengan baik.
"MCMC dan KKD meneliti beberapa teknologi yang baharu selain daripada Internet melalui satelit. Ada beberapa teknologi baharu sedang dirangka yang menggunakan satelit sebagai menara komunikasi.
"... dalam tahun-tahun akan datang ini lebih kurang dua tahun lebih, ada beberapa syarikat yang sedang meneliti penggunaan teknologi satelit sebagai menara telekomunikasi. Jadi ini sedang dalam penelitian," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Aknan Ehtook di Dewan Negara yang bertanyakan mengenai kemajuan inisiatif perkongsian rangkaian yang mengambil kira Sarawak sebagai model pelaksanaan.
Selain itu Fahmi berkata MCMC dan syarikat telekomunikasi telah mencapai persetujuan untuk membantu menyelesaikan masalah menara tidak berkuali di Sarawak yang melibatkan 600 menara di bawah Lembaga Multimedia Sarawak (SMA).
Beliau berkata walaupun usaha itu menelan belanja yang agak besar, ia membuktikan bahawa kerjasama antara MCMC dan syarikat telekomunikasi tersebut boleh dicapai.
"Cuma (kerjasama ini) perlu perbincangan dengan dibawa ke meja perundingan sebelum dikeluarkan apa-apa arahan. Jadi ini satu model yang saya harap dapat kita guna di negeri lain," katanya.
-- BERNAMA
#Fahmi Fadzil #KKD #teknologi satelit #menara telekomunikasi
;