KKD, syarikat Telco tawar Pakej 5G Rahmah, Insentif Postpaid RAHMAH Penjawat Awam
Firdaus Azil
Ogos 7, 2023 15:53 MYT
Ogos 7, 2023 15:53 MYT
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia kini bakal menikmati pakej perkhidmatan Internet 5G, bersekali dengan telefon pintar 5G dengan harga yang jauh lebih murah berbanding pakej sedia ada di pasaran dengan Pakej 5G RAHMAH.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, penyediaan pakej itu merupakan kerjasama strategik Kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) yang terlibat, serta dua syarikat pengeluar peranti iaitu Samsung Malaysia dan Honor Malaysia.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, ia merupakan komitmen serius Kerajaan Perpaduan dalam usaha merapatkan jurang digital serta memastikan rakyat mendapat internet berkualiti pada harga berpatutan.
“Ini juga selari dengan visi dan kerangka Ekonomi MADANI yang turut memberi fokus kepada inisiatif mengurangkan beban ekonomi rakyat,” katanya lagi.
Fahmi menjelaskan, Pakej 5G RAHMAH ialah pakej telefon pintar 5G pelan data (device bundle) dengan harga telefon pintar jenama Samsung A14 5G dan Honor 90 Lite 5G serendah RM240.00 berserta pelan data sebanyak 60GB pada harga RM60.00 sebulan.
“Bagi golongan B40, sejumlah 100,000 pelanggan terawal akan menikmati Pakej 5G RAHMAH dengan harga telefon pintar serendah RM120.00. Pakej tersebut akan berada di pasaran bermula pada 31 Ogos 2023 dengan kontrak langganan selama 24 bulan. Pakej ini turut menawarkan tempoh waranti 2 tahun berbanding hanya 1 tahun sebelum ini,” katanya lagi.
Sebagai menghargai penjawat awam pula, Fahmi berkata Insentif Postpaid RAHMAH Penjawat Awam turut diperkenalkan dengan pemberian rebat RM10 sebulan yang akan dinikmati oleh semua penjawat awam di Malaysia. Ianya terpakai untuk mana-mana pakej postpaid sedia ada,” katanya lagi.
Fahmi berkata, melalui pakej itu, penjawat awam mendapat manfaat penjimatan pascabayar sebanyak RM120 setahun, yang akan berkuatkuasa bermula 31 Ogos 2023.
#Pakej Rahmah 5G
#Insentif Postpaid Rahmah Penjawat Awam
#Fahmi Fadzil
#Kementerian Komunikasi dan Digital