KKD pastikan RUU penubuhan Majlis Media Malaysia dibentang di Parlimen Mac depan
Bernama
Julai 28, 2023 04:30 MYT
Julai 28, 2023 04:30 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan memastikan Rang Undang-Undang (RUU) penubuhan Majlis Media Malaysia (MMC) dapat dibentangkan di Parlimen, selewat-lewatnya pada sidang Mac depan.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching menerusi hantaran di Facebook rasminya pada Jumaat berkata, perkara itu diputuskan dalam satu mesyuarat bagi perbincangan lanjut mengenai rang undang-undang itu, yang dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, pada Khamis.
"Inilah komitmen (KKD) sebagai satu daripada usaha memastikan kebajikan pengamal media terjaga serta informasi yang diterima setiap lapisan masyarakat adalah lebih sahih dan secara tidak langsung memelihara keharmonian negara.
"Kami di KKD menyambut baik amanat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan kebebasan media terus diangkat dan diperkasa sebagai salah satu usaha menangani segala pembohongan jahat serta berita palsu yang boleh menyebabkan perpecahan dalam masyarakat," katanya.
Perdana Menteri ketika mengumumkan inisiatif 'Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat' di sini pada Khamis berkata kerajaan akan terus mengangkat dan memperkasa kebebasan media bagi memberikan rakyat berita dan maklumat yang adil dan benar.
Kata Perdana Menteri usaha itu juga dapat menangani semua jenis pembohongan jahat dan berita palsu yang boleh menyemai perpecahan dan ketidakpercayaan.
-- BERNAMA