KKD kaji tingkatkan kompaun kes kebocoran data peribadi - Teo

Bernama
Mac 7, 2023 17:47 MYT
Teo Nie Ching berkata ini kerana ketika ini kadar kompaun atau denda yang dikenakan tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sedang melakukan kajian untuk meningkatkan kadar kompaun atau denda yang boleh dikenakan terhadap pihak yang terlibat dalam kes kebocoran data peribadi, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata ini kerana ketika ini kadar kompaun atau denda yang dikenakan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
"Kita (KKD) sedang meneliti dan juga mengkaji semula hukuman serta denda di bawah Akta 709 supaya kompaun atau denda yang boleh kita kenakan terhadap kes-kes kebocoran data peribadi itu bolehlah ditingkatkan lagi supaya kesedaran dan tanggungjawab diletakkan ke atas syarikat serta agensi terlibat adalah lebih berat dan besar," katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) mengenai langkah yang boleh diambil kerajaan dalam meningkatkan tahap keselamatan siber negara pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Teo berkata berdasarkan rekod CyberSecurity Malaysia (CSM), sebanyak 19 kes kebocoran data peribadi telah direkodkan pada 2020, 28 kes (2021) dan 50 kes (2022) manakala bagi tempoh Januari hingga Februari tahun ini, sebanyak 49 kes direkodkan.
Beliau berkata setakat ini, tujuh kes kebocoran data peribadi telah dikenakan tindakan di bawah Seksyen 5, Akta 709 dengan kompaun keseluruhan berjumlah RM200,000 manakala lapan kes di bawah Seksyen 16 pula, kompaun keseluruhan berjumlah RM81,000.
"Sebab itu kita berhasrat untuk mengkaji Akta 709 dan satu daripada cadangan adalah untuk meningkatkan lagi kadar denda, kompaun yang boleh dikenakan.
"Kita nak hukuman yang dikenakan itu seimbang dengan kesalahan... contohnya pesalah bukan bocorkan data seperti nama sahaja, malah bocorkan nombor telefon, nombor kad pengenalan juga. Jadi kita nak seimbangkan kesalahan yang dilakukan, kebocoran data yang dilakukan dengan hukuman yang lebih setimpal," katanya.
Beliau berkata KKD berhasrat untuk membentangkan pindaan terhadap Akta 709 di Dewan Rakyat dalam tempoh setahun selain turut bercadang untuk mewujudkan akta berkaitan keselamatan siber yang ketika ini di peringkat libat urus dengan pihak berkaitan dan turut dijangka akan dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat.
-- BERNAMA
#Dewan Rakyat #Teo Nie Ching #kadar kompaun atau denda #keselamatan siber
;