KKD jangka bentang pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia di Parlimen awal tahun depan

Bernama
September 17, 2023 14:55 MYT
Timbalan Menteri berkaitan Teo Nie Ching berkata KKD menerusi agensi-agensi di bawahnya sedang mengkaji semula Akta Komunikasi dan Multimedia kerana akta tersebut digubal pada 1998.- Gambar fail/Bernama
KULAI: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dijangka membentangkan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia di Parlimen, awal tahun hadapan.
Timbalan Menteri berkaitan Teo Nie Ching berkata KKD menerusi agensi-agensi di bawahnya sedang mengkaji semula Akta Komunikasi dan Multimedia kerana akta tersebut digubal pada 1998.
Justeru, beliau berkata kementerian akan melaksanakan tadbir urus dengan pihak berkepentingan berhubung kajian dan pindaan semula akta berkenaan.
"Jadi KKD rasa sudah sampai masanya untuk kita mengkaji semula dan pastikan bahawa peruntukan yang kita ada sekarang mencukupi untuk mengambil tindakan terhadap apa-apa jenis jenayah khasnya yang berlaku di alam siber.
"Kalau tidak sempat bentang tahun ini, kita akan bentang di Parlimen awal tahun hadapan," katanya kepada pemberita selepas tayangan "MALBATT: Misi Bakara" di TGV AEON Mall Kulai, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengenai undang-undang Malaysia yang sedia ada berkaitan jenayah siber perlu dikaji dengan memasukkan elemen penipuan menerusi perisian dan peranti komputer.
Teo berkata terdapat bukti bahawa teknologi kecerdasan buatan (AI) disalah guna bagi tujuan penipuan, apabila suara atau wajah seseorang boleh ditiru menggunakan AI untuk memperdaya ahli keluarga dan rakan terdekat mereka.
Katanya pindaan yang akan dibuat termasuk meningkatkan tanggungjawab penyedia perkhidmatan.
Terdahulu, Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai meluangkan masa beramah mesra dengan kira-kira 250 orang penduduk Kulai sebelum menonton filem tersebut.
Sebelum ini, Razarudin dipetik sebagai berkata kesalahan jenayah siber dijangka terus meningkat pada masa akan datang susulan kepesatan teknologi terutama melalui penggunaan teknologi AI.
Sementara itu, beliau berkata dua peranti Starlink dipasang di Bau dan Julau, Sarawak bulan ini, sekali gus menjadikan tujuh peranti itu telah dipasang termasuk di negeri ini, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan.
"Untuk baki tiga peranti satelit ini, kita merancang untuk pasang di Sabah dan sedang mengesan lokasi bertepatan untuk meletakkan peranti tersebut," katanya.
Teo berkata pemasangan peranti itu di Sabah dan Sarawak adalah sebagai penyelesaian sementara bagi masalah keterhubungan terutama di kawasan pedalaman yang mana pemasangan kabel fiber optik atau seumpamanya sukar dilakukan.
Ahli Parlimen Kulai itu berkata kos pemasangan serta bayaran bulanan Starlink akan dibiayai oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) selama setahun.
"Buat masa ini, kos bagi satu unit peranti Starlink berspesifikasi tinggi adalah RM11,613 yang mempunyai jarak liputan kira-kira 100 meter dengan kelajuan 40 megabit per saat (MBPS) sehingga 220MBPS," katanya.
Beliau menambah penggunaan 10 unit peranti itu akan menjadi bukti konsep untuk meneliti sebarang permasalahan sebelum penggunaannya diperluaskan lagi.
-- BERNAMA
#Kementerian Komunikasi dan Digital #Akta Komunikasi dan Multimedia #dibentang di Parlimen #Teo Nie Ching
;