KKD bertemu CEO, wakil syarikat telekomunikasi bincang pelaksanaan 5G
Astro Awani
Mei 6, 2023 05:40 MYT
Mei 6, 2023 05:40 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bakal mengadakan pertemuan dengan ketua pegawai eksekutif (CEO) atau wakil syarikat-syarikat telekomunikasi pada Isnin ini.
Menterinya Fahmi Fadzil berkata ia susulan keputusan jemaah menteri melaksanakan rangkaian 5G melalui Digital Nasional Berhad (DNB) sehingga tahap capaian 80 peratus di kawasan berpenduduk di seluruh negara.
“InsyaAllah pada tahun depan, kita akan beralih atau beranjak kepada dual network. Ada yang bertanya kenapa kalau single disebut single wholesale tetapi kalau lebih dari satu disebut dual network, dia sebenarnya adalah isu teknikal.
“Yang mana dari segi realitinya akan ada beberapa entiti bakal bekerjasama termasuk entiti A entiti B dan dalam setiap entiti ini ada sejumlah syarikat telco. Mereka akan mengusahakan pembinaan menara mencukupi.
"Ini untuk memastikan kita ada aspek redundancy atau pun lebih dari satu bagi mengelak masalah sekiranya apa-apa berlaku kepada satu rangkaian, kita masih ada back up,” katanya kepada media selepas program ramah mesra bersama pengguna media sosial di Kuala Lumpur pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan usaha bagi memastikan pengguna ada aspek rangkaian lebih daripada satu supaya mempunyai rangkaian sokongan jika rangkaian lain berdepan masalah.