KKD belum buat keputusan sama ada TikTok Shop wajib peroleh lesen e-dagang

Hasimi Muhamad
November 21, 2023 15:17 MYT
Teo Nie Ching berkata, pihaknya akan berbincang terlebih dahulu dengan kementerian berkaitan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebelum sebarang keputusan dibuat. - Foto Japen
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) masih belum membuat sebarang keputusan supaya TikTok Shop diwajibkan memperoleh lesen e-dagang di negara ini.
Ia susulan keputusan kerajaan Indonesia yang mengharamkan transaksi e-dagang di platform TikTok berkuat kuasa serta-merta pada 4 Oktober lalu.
Timbalan Menteri KKD, Teo Nie Ching berkata, pihaknya akan berbincang terlebih dahulu dengan kementerian berkaitan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebelum sebarang keputusan dibuat.
"Setakat ini, KKD belum buat apa-apa keputusan terhadap TikTok Shop sama ada kita nak wajibkan mereka mendapat lesen.
"Ini adalah salah satu perkara yang kami akan berbincang dengan kementerian lain berkaitan seperti KPDN. Sekiranya ada apa-apa perkembangan, saya percaya kami akan buat pengumuman pada masa yang sesuai," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) adakah kerajaan sedang mempertimbangkan bagi mengikuti langkah kerajaan Indonesia yang mengharamkan TikTok Shop bagi melindungi perniagaan tempatan.
Iskandar berkata, tindakan dibuat oleh kerajaan Indonesia itu kemudiannya menyebabkan TikTok bersama YouTube dan Meta mempertimbangkan untuk memohon lesen e-dagang bagi meneruskan operasi mereka di Indonesia.
Mengulas lanjut, Nie Ching memaklumkan beliau telah mengadakan mesyuarat bersama TikTok sebelum ini dan hasilnya menunjukkan bahawa 96 peratus penjual TikTok Shop adalah dari Malaysia.
"Maksudnya hanya empat peratus dari luar negara.
"Bukan sahaja TikTok Shop atau e-vendor itu boleh mendapat pendapatan, tetapi penyedia kandungan yang membantu sesebuah kedai untuk promosi kedai mereka (juga memperoleh pendapatan).
"Mereka boleh mendapat keuntungan daripada kandungan yang mereka cipta tersebut," tambah beliau.
#TikTok Shop #Dewan Rakyat #Lesen e-dagang #Teo Nie Ching #Indonesia
;