KKD akan jumpa Meta isu penipuan di aplikasi WhatsApp - Fahmi

Hasimi Muhamad
Disember 7, 2023 18:35 MYT
Fahmi berkata pihaknya telah menerima beberapa aduan berhubung taktik penipuan terbaharu dengan menggodam dan mengambil alih aplikasi WhatsApp daripada pemilik asal. -Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan mengadakan pertemuan dengan pihak WhatsApp yang dikendalikan oleh Meta Platforms Inc (Meta) minggu depan, bagi membincangkan aktiviti penipuan menggunakan aplikasi tersebut.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata pihaknya telah menerima beberapa aduan berhubung taktik penipuan terbaharu dengan menggodam dan mengambil alih aplikasi WhatsApp daripada pemilik asal.
Ujarnya, pertemuan berkenaan bagi memahami aspek-aspek keselamatan melibatkan aplikasi WhatsApp, yang kemungkinan kurang cekap sehingga mengakibatkan ia dieksploitasi oleh penjenayah.
"Saya lihat ini merupakan satu trend yang sedikit membimbangkan kerana sebelum ini ambil alih akaun aplikasi seperti Telegram, tetapi sekarang merebak ke WhatsApp pula.
"Saya secara peribadi menerima aduan daripada beberapa individu tentang bagaimana tentang bagaimana akaun WhatsApp mereka telah dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"CyberSecurity Malaysia juga telah mengeluarkan satu amaran tentang bahaya akaun WhatsApp yang telah diambil alih oleh penjenayah," katanya kepada pemberita ketika hadir Majlis Penutupan Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 (JASK 2023) di sini pada Khamis.
Turut hadir merasmikan majlis penutupan tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Mengulas mengenai taktik yang digunakan oleh penjenayah, Fahmi berkata kemungkinan besar pihak tidak bertanggungjawab telah mendapatkan laluan guna sekali (OTP) selepas mangsa klik pada pautan yang dihantar.
"Seperti yang dinasihatkan CyberSecurity, berhati-hati dan berwaspada dengan sebarang link yang kita klik terutama dalam WhatsApp.
"Sebab kita tahu WhatsApp ini sangat besar, ada grup taman, surau, dan jiran tetangga. Jadi tolong berhati-hati. Kalau nampak pautan yang diragui, jangan klik," katanya.
Sementara itu Fahmi dalam ucapan berkata, Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan yang diadakan sepanjang tahun ini merupakan satu inisiatif untuk memberi informasi dan maklumat bagi mendidik serta memupuk kesedaran orang ramai tentang jenayah kewangan dan scam.
Ujar beliau, program itu dilaksanakan di lima buah negeri termasuk di Putrajaya dan berjaya menjangkau lebih 12,756 orang peserta yang hadir secara fizikal dan secara dalam talian.
"Saya berharap agar program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan ini akan dapat diteruskan pada tahun 2024 ke negeri-negeri yang masih belum dilaksanakan pada tahun ini," katanya.
#Fahmi Fadzil #Penipuan WhatsApp #jenayah siber #aplikasi digodam
;