KJRI desak siasatan terperinci kes ugut kumpulan Radja
Hilmi Malik
Mac 13, 2023 18:30 MYT
Mac 13, 2023 18:30 MYT
KUALA LUMPUR: Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru mendesak polis membuat siasatan terperinci dan telus berhubung ancaman bunuh yang diterima kumpulan muzik terkenal Indonesia, Radja Band.
Menurut Konsul Jeneralnya, Sigit S Widiyanto, pihaknya dimaklumkan dua suspek yang terlibat telah dibebaskan setelah membayar wang jaminan.
"Proses siasatan masih berjalan dan pihak Radja sendiri - mereka inginkan agar proses siasatan berjalan seperti biasa.
"Sudah tentu kita sangat berharap polis Johor yang bersikap profesional mampu untuk tangani kes ini selari dengan kesalahan yang telah dilakukan.
"Pihak Radja juga memaklumkan kepada kami, mereka masih trauma dan takut dengan kejadian yang menimpa mereka baru-baru ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.
Tambahnya lagi, KJRI Johor Bahru kecewa dengan insiden yang menimpa kumpulan tersebut apatah lagi ia merupakan kunjungan pertama kumpulan muzik berkenaan ke negeri itu.
"Mungkin sebelum ini Radja pernah datang ke Malaysia tetapi di Johor ini merupakan kunjungan kali pertama.
"Mereka sangat terperanjat serta trauma setelah terima perlakuan yang kasar dan kata-kata makian (ancaman bunuh).
"Radja merasakan telah lakukan yang terbaik untuk konsert itu namun kemudian menerima layanan seumpama itu.
"KJRI Johor Bahru akan terus berhubung dengan polis Johor untuk mengikuti rapat perkembangan kes agar ia dapat diselesaikan sebaiknya," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Sigit turut memaklumkan sempat bertemu ahli kumpulan muzik berkenaan pada malam kejadian sebelum mereka dikejutkan dengan insiden itu.
Sabtu lalu, media melaporkan kumpulan Radja menerima ancaman bunuh oleh dua lelaki selain dilemparkan dengan kata-kata kesat.
Kejadian dikatakan berpunca daripada salah faham membabitkan wakil pihak penganjur dan kumpulan tersebut.
Kejadian itu tercetus setelah mereka selesai mengadakan konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru.
Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Kamaruzaman Mamat pada Ahad berkata, polis telah menahan dua individu bagi membantu siasatan kes.