KJRI buka nombor hotline untuk ahli keluarga korban bot karam di Tanjung Balau

Bernama
Disember 16, 2021 04:25 MYT
Setakat pukul 10 pagi tadi, 18 mayat telah ditemukan sejak semalam. - Foto JBPM
KOTA TINGGI: Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) telah membuka nombor hotline untuk ahli keluarga mengetahui maklumat mengenai korban bot karam di Tanjung Balau, di sini, semalam.
Pegawai Hal Ehwal Informasi dan Sosio Budaya KJRI di Johor Bahru Andita Putri Purnama berkata ahli keluarga yang mahu mengetahui lebih lanjut mengenai kejadian dan mangsa, boleh menghubungi 016-7700378 atau 017-7716866.
"KJRI Johor Bahru terus berkoordinasi dengan agensi penguatkuasaan yang terlibat untuk memantau perkembangan pencarian korban, dan untuk identifikasi jenazah di Hospital Sultan Ismail (HSI)," kata beliau kepada Bernama, ketika dihubungi hari ini.
[TERKINI] Bot Karam | Lima lagi mayat di Tanjung Balau ditemui
Menurut beliau pegawai KJRI telahpun melawat lokasi kejadian serta hospital semalam.
"Hingga saat ini dugaan sementara, korban diduga adalah warga Indonesia. Namun proses autopsi masih berlangsung di HSI," kata beliau.
Setakat pukul 10 pagi tadi, 18 mayat telah ditemukan sejak semalam.
-- BERNAMA
#KJRI #bot karam #Balau #Indonesia