KJ dilantik salah seorang pengarah di Fischer Medical Ventures Ltd

Astro Awani
Mei 9, 2024 21:26 MYT
Khairy dilantik atas kapasiti Pengarah Bebas Syarikat untuk tempoh lima tahun bermula 4 Mei 2024.
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, dilantik sebagai salah seorang pengarah di Fischer Medical Ventures Limited, India.
Perkara itu diputuskan dalam satu mesyuarat lembaga pengarah yang diadakan Sabtu lalu.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, Khairy dilantik atas kapasiti Pengarah Bebas Syarikat untuk tempoh lima tahun bermula 4 Mei 2024, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham.
Dalam kenyataan itu, Khairy disebut sebagai bukan sahaja seorang usahawan yang dinamik tetapi juga seorang tokoh media terkemuka dan pengulas politik yang bijak.
"Khairy Jamaluddin mempamerkan fleksibiliti dan dedikasi dalam kerjayanya yang cemerlang merangkumi politik, keusahawanan dan perkhidmatan awam di negaranya, Malaysia. Dengan latar belakang yang teguh dalam kedua-dua bidang akademik dan profesional, Khairy muncul sebagai seorang tokoh terkemuka dalam landskap sosiopolitik Malaysia.
"Semasa memegang jawatan Menteri Kesihatan, Khairy menerajui respons Malaysia terhadap pandemik COVID-19, menerajui transformasi digital sistem penjagaan kesihatan dan memperjuangkan penyelesaian inovatif untuk meningkatkan kebolehcapaian dan kecekapan dalam teleperubatan dan platform kesihatan digital.
"Beliau memikat hati penonton sebagai hos bersama program radio yang terkenal di Malaysia dan sebagai pengacara podcast hal ehwal semasa. Peranan beliau yang dihormati sebagai Felo Kanan Pelawat dan Profesor Adjung menekankan dedikasi beliau untuk membentuk pemimpin masa depan.
"Dalam semua kapasiti, Khairy merangkumi kepimpinan, integriti, dan dedikasi kepada kemajuan," katanya.
#Khairy Jamaluddin #Fischer Medical Ventures Limited #India
;