KJ cedera langgar lubang, jatuh parit ketika berbasikal
Astro Awani
Disember 27, 2020 17:20 MYT
Disember 27, 2020 17:20 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin mengalami kecederaan akibat kemalangan selepas basikal yang ditunggangnya melanggar sebuah lubang.
Memuat naik hantaran di akaun Instagram peribadinya, Ahli Parlimen Rembau itu berkongsi foto dan kapsyen kemalangan yang dialaminya pada Ahad.
Berdasarkan apa yang ditulis oleh Khairy, basikalnya dipercayai melanggar lubang menyebabkan beliau terhumban ke dalam parit.
Beliau turut berkongsi keadaannya selepas jatuh ke dalam parit berkenaan.
Sementara itu, Setiausaha Akhbar Khairy, Raja Syahrir Bakar melalui Twitternya memaklumkan, Khairy hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di hospital berdekatan.
"Terima kasih kepada rakan-rakan yang bertanya. Alhamdulillah @khairykj hanya alami kecederaan kecil dan tiada yang serius," kata Raja Syahrir.