#KitaReset: Gubal undang-undang untuk pembaharuan sistem pilihan raya - Penganalisis

Hasimi Muhamad
Januari 1, 2022 17:18 MYT
Malaysia telah menggunakan sistem pilihan raya dan undang-undang sama sejak negara mengecapi kemerdekaan lagi. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Undang-undang baharu wajar digubal untuk membolehkan pembaharuan sistem pilihan raya di negara ini, dapat dilaksanakan.
Penyelidik Centre For Electoral Education And Democracy, Amerul Muner Mohammad, berpandangan sistem yang ada ketika ini telah mengakibatkan ketidakstabilan politik negara.
Katanya, Malaysia telah menggunakan sistem pilihan raya dan undang-undang sama sejak negara mengecapi kemerdekaan lagi.
"Jadi lebih 60 tahun kita mengunakan sistem yang sama dan sistem tersebut telah mewujudkan kerajaan yang stabil. Tetapi adakah soalan utama kita sistem tersebut sempurna?
"Bagi saya, sistem yang kita ada sekarang ini bukan lah satu sistem yang sempurna. Untuk mengubah sistem, undang-undang perlu berubah dan sistem yang kita ada sekarang ini telah diakui oleh SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) sendiri mengakui terdapat kelemahan di dalam sistem pilihan raya di Malaysia, sama ada dari segi strukturnya atau pelaksanaannya," katanya kepada Astro AWANI, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Amerul bagaimana mengakui perspektif terhadap pilihan raya sudah mula berubah termasuk selepas pelaksanaan Undi 18.
Katanya lagi, pemimpin-pemimpin muda juga dilihat lebih menitikberatkan kepada perkhidmatan kepada masyarakat.
"Kita dapat lihat terutama dalam keadaan banjir ini terutama pemimpin-pemimpin politik muda lebih ke hadapan berkhidmat bagi membolehkan mereka dipilih sebagai pemimpin.
"... yang mana kalau dulunya, menjadi pemimpin politik adalah sebagai satu kemuncak di dalam karier politik seseorang tetapi dengan perubahan yang kita sedang hadapi sekarang ini, adalah satu landasan untuk pemimpin tersebut terus berkhidmat kepada masyarakat dan pengundi yang memilih mereka dan bukan hanya memimpin dari segi politik sahaja," ujarnya.
#Suruhanjaya Pilihan Raya #pilihan raya Malaysia #PRU15 #Kita Reset
;