Kitar semula plastik: KPKT perkenal dasar baharu tahun depan - Zuraida

Isabelle Leong
Oktober 1, 2019 21:27 MYT
ZURAIDA (dua dari kanan): Terdapat keperluan untuk kami merangka dasar dan mekanisme yang lebih komprehensif dan jelas serta akta-akta yang diselaraskan sekali. - MPMA & MPRA
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperkenalkan dasar baharu seawal tahun depan untuk menguruskan sisa plastik dan pengimportan bahan buangan tersebut dengan lebih teratur.
Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin berkata kementeriannya kini dalam proses mengkaji dasar berkenaan supaya ia lebih khusus buat industri kitar semula bahan tersebut.
“Dasar baharu ini merupakan dasar lebih konkrit dan berlainan daripada dasar sebelum ini.
“Ia merupakan dasar yang khusus buat industri kitar semula plastik.
“Terdapat keperluan untuk kami merangka dasar dan mekanisme yang lebih komprehensif dan jelas serta akta-akta yang diselaraskan sekali,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kertas Putih Industri Kitar Semula Plastik di Malaysia di Universiti Monash, Subang Jaya pada Selasa.
Turut hadir ialah Naib Presiden Persatuan Pengeluar Plastik Malaysia (MPMA), CC Cheah serta Timbalan Ketua (Kajian) Sekolah Perniagaan Universiti Monash Malaysia, Prof Pervaiz K Ahmed.
Tambahnya, kementeriannya bekerjasama dengan beberapa syarikat konsesi seperti Alam Flora Sdn Bhd, SWM Environment Sdn Bhd dan Environment Idaman Sdn Bhd untuk melaksanakan proses pengasingan sampah di kawasan perumahan pada tahun depan.
“Saya telah mengarahkan syarikat konsesi tersebut untuk mengenal pasti kawasan perumahan yang dirasakan sesuai untuk memulakan program pengasingan ini.
“Dan tentunya, syarikat konsesi ini perlu menyediakan infrastruktur dan peralatan sokongan seperti tong sampah atau plastik supaya mereka dapat memisahkan sampah tersebut,” tambahnya.
Katanya, industri kitar semula plastik di negara ini dianggarkan bernilai RM4.5 bilion setahun dan mampu berkembang dan meningkat ke RM20 bilion setahun sekali gus mampu meningktakan ekonomi negara.
#CC Cheah #Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan #Kitar semula plastik #KPKT #Naib Presiden Persatuan Pengeluar Plastik Malaysia MPMA #Zuraida Kamaruddin
;