#KitaMintaLima mula tular, rakyat mohon beban diringankan
Afiq Ariffin
Februari 6, 2021 14:27 MYT
Februari 6, 2021 14:27 MYT
KUALA LUMPUR: Tatkala negara masih bergelut dalam membendung penularan wabak COVID-19, rakyat mendoakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dapat membantu rakyat bangkit semula untuk mendepani cabaran getir kehidupan ketika ini.
Menerusi tanda pagar #KitaMintaLima, pelbagai reaksi diterima gara-gara rakyat menderita susulan kos hidup yang semakin meningkat selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan oleh Kerajaan.
Baru-baru ini, kerajaan telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0. Pelaksanaan 'lockdown' kedua ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada orang ramai terutamanya dari segi kewangan, apabila sumber pendapatan mereka terjejas sejak mulanya penularan virus itu.
Menerusi #KitaMintaLima, pengguna Twitter @SanHajji berharap agar pesakit-pesakit yang sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) mendapat kesembuhan dan rakyat Malaysia tabah dalam mendepani tekanan emosi dan fizikal pada ketika ini.
Poster #KitaMintaLima juga sudah mula dimuat naik di laman media sosial Facebook, Twitter dan WhatsApp sejak malam Jumaat.
Sehingga jam 12 tengah hari Sabtu, #KamiMintaLima berkenaan telah mengumpulkan lebih 29,100 ciapan serta berada di tangga teratas di Twitter.
#Yang di-Pertuan Agong
#Twitter
#tanda pagar
#rakyat
#seru
#Pelaksanaan PKP
#pandemik
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#kerajaan