#KitaLawan: Pimpinan PKR kecam penahanan Nik Nazmi dan Saifullah

Haider Yutim
Mac 8, 2015 14:34 MYT
TIAN CHUA: Tindakan itu adalah tidak wajar kerana perhimpunan #KitaLawan yang diadakan petang Sabtu itu berlangsung dengan aman. Gambar Fail
Dua pemimpin kanan PKR hari ini mengecam penahanan Ketua Pemuda parti itu Nik Nazmi Nik Ahmad di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman dan Seksyen 143 Kanun Keseksaan oleh pihak polis.
Menurut Naib Presiden PKR, Tian Chua, tindakan itu adalah tidak wajar kerana perhimpunan #KitaLawan yang diadakan petang Sabtu itu berlangsung dengan aman.
"Ini cara ugutan yang tidak wajar kerana perhimpunan tersebut berlangsung dengan aman. Mengapa pihak polis hendak mengambil tindakan sedemikian?
"Kini mereka kembali kepada zaman lapuk di mana hak asasi manusia dikekang," kata Ahli Parlimen Batu itu ketika dihubungi Astro AWANI.
Beliau juga menyifatkan tindakan polis itu sebagai ingin mencetuskan rasa takut di kalangan rakyat yang ingin berjuang menuntut hak mereka.
"Sangat tidak wajar... saya kecam tindakan sedemikian," katanya lagi.
Ditanya apakah tindakan selanjutnya oleh PKR, Tian Chua berkata pihaknya akan menyerahkan kepada peguam untuk mengendalikan kes tersebut.
Seorang lagi Naib Presiden PKR, N Surendran ketika dihubungi turut merasakan tindakan penahanan itu tidak wajar.
Katanya, pihak polis tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk menahan Nik Nazmi mahupun Ketua Pemuda PKR Kelana Jaya, Saifullah Zulkifli.
"Mereka tidak sepatutnya ditahan... tiada alasan untuk penahanan tersebut," kata Ahli Parlimen Padang Serai itu kepada Astro AWANI.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda PKR, Dr Afif Bahardin dalam satu kenyataan mengecam sekeras-kerasnya tindakan tersebut.
"Penahanan ini adalah salah dan melanggar prinsip hak asasi yang telah dijamin oleh Perlembagaan Malaysia di dalam Perkara 10: Kebebasan Bercakap, Berhimpun dan Menubuh Persatuan, seperti Fasal (1)(b); semua warganegara adalah berhak berhimpun secara aman dan dengan tidak bersenjata.
"Ternyata penahanan beliau berikutan perhimpunan #kitalawan semalam adalah satu pencabulan hak asasi warganegara," katanya beliau dalam kenyataan tersebut.
Katanya pihak polis seharusnya membenarkan saja perhimpunan itu berlangsung dan hanya bertindak untuk mengawal keselamatan dan kelancaran perhimpunan.
Beliau juga memaklumkan, Pemuda PKR akan kan mengerakkan seluruh anggotanya untuk bersolidariti bersama Ketua dan pimpinan mereka yang ditahan polis.
Terdahulu, Nik Nazmi telah ditahan polis selepas hadir memberi keterangan di IPD Dang Wangi jam 10 pagi tadi.
Beliau telah ditahan di bawah Sekyen 9(5) Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 143 Kanun Keseksaan kerana menganjur perhimpunan tanpa kebenaran.
Sebelum itu, Saifullah telah ditahan polis di bawah akta yang sama sejurus selepas perhimpunan itu selesai.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Sabtu telah memberi amaran kepada penganjur perhimpunan #KitaLawan supaya bersedia dengan apa-apa tindakan yang akan diambil pihak polis.
Perhimpunan #KitaLawan diadakan bagi menyatakan bantahan terhadap pemenjaraan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada 10 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar setelah mendapatinya bersalah atas kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan tujuh tahun lalu.
#AMK #N Surendran #Nik Nazmi Nik Ahmad #PKR #saifullah zulkifli #Tian Chua
;