Kitak urang maok nangga wayang sik? Sabar dolok... dua hari gik
Fadilah Sulaiman
Oktober 8, 2021 19:36 MYT
Oktober 8, 2021 19:36 MYT
KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak bersetuju membenarkan panggung wayang untuk kembali beroperasi berkuat kuasa 10 Oktober jam 12.01 pagi.
Menerusi kenyataan pada Jumaat, JPBN Sarawak bagaimanapun menegaskan setiap individu perlu mematuhi prosedur operasi standrad (SOP) COVID-19 yang ditetapkan.
“Operator dan pekerja perlu menjalani ujian calitan rt-PCR atau RTK COVID-19 (di klinik atau makmal perubatan) sebelum memulakan operasi dengan keputusan ujian tidak lebih dari tiga hari.
‘’Mereka juga digalakkan melakukan saringan berkala secara rawak menggunakan kit RTK saringan kendiri yang diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Selain itu, hanya pelanggan dengan status “Low Risk” termasuk “Casual Contact Low Risk” dalam aplikasi MySejahtera dan lengkap divaksinasi dibenarkan masuk serta diwajibkan memakai pelitup muka.
“Pemilik, operator, atau pekerja premis diwajibkan untuk memastikan hanya pelanggan yang telah divaksinasi lengkap dibenar mendapatkan perkhidmatan selain pengesahan boleh dilakukan melalui aplikasi MySejahtera-DigitalCertificate atau Kad Vaksinasi COVID-19,” tambahnya.
Sementara itu, Sarawak hari ini mencatatkan 1,339 kes menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negeri itu kepada 222,381.
Daripada jumlah tersebut, 1,318 kes bersamaan 98.43 peratus adalah kes kategori satu dan dua manakala 21 kes bersamaan 1.57 peratus adalah kes kategori tiga, empat dan lima.
Antara lain, Sarawak turut mencatatkan lapan kes kematian akibat COVID-19 dan dua daripadanya adalah kes kematian sebelum tiba ke hospital (BID) yang berlaku di Kuching.
“Kesemua kes kematian akibat COVID-19 ini dilaporkan berlaku dalam tempoh 28 September 2021 hingga 6 Oktober 2021 melibatkan pesakit berusia di antara 52 hingga 80 tahun.
“Dua kes dilaporkan di Kuching dan Sarikei, serta satu kes masing-masing di Bintulu, Sibu, Kapit dan Sri Aman dengan komorbid antaranya kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang kronik,’’ tambah kenyataan itu.
#COVID-19 di Sarawak
#panggung wayang buka di Sarawak
#JPBN Sarawak
#kes positif COVID-19 di Sarawak