Kita tidak pernah lupa suara Gen Y - Khairul Azwan

Astro Awani
November 10, 2014 18:33 MYT
KHAIRUL AZWAN: Kita tidak pernah lupa suara Gen Y - Gambar fail
Tiga segmen utama pada hari terbuka Pergerakan Pemuda UMNO yang akan berlangsung Sabtu depan bakal memberi fokus kepada generasi Y (Gen Y) meliputi bandar dan desa dalam aspek pembelaan dan kos sara hidup golongan berkenaan.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, tiga segmen itu ialah sesi 'town hall meeting' atau perjumpaan awam, kongres perumahan rakyat dan pameran oleh biro-biro pergerakan tersebut.
"Kita sasarkan golongan daripada Gen Y untuk hadir pada hari itu nanti, ia akan berlangsung bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang di Dewan Tun Razak 2, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
"Kita akan mendengar sendiri pandangan, saranan dan persoalan daripada generasi muda pelbagai kaum dari bandar dan luar bandar terhadap Bajet 2015 dan perkara berkaitan mereka," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Exco Pergerakan Pemuda Umno di sini hari ini.

Sidang media NKPUM Sdr @azwanbro selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO Pemuda UMNO Malaysia. #KataKita @Khairykj pic.twitter.com/12dhf6WGuN

— PPUM Online (@PPUMOnline) November 10, 2014
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Jelasnya, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin akan mempengerusikan sendiri sesi 'town hall' pada hari terbuka itu nanti.
"Sesi itu akan menjadi suara generasi muda untuk kita angkat kepada pucuk pimpinan dan ianya akan menjadi input buat mereka.
"Mereka juga perlu sedar tanggungjawab diri sebagai badan pelaksana bagi memastikan pelaksanaan Bajet 2015 berjalan dengan baik," katanya.
Khairul Azwan turut memberitahu, semua cadangan yang akan diperoleh pada hari terbuka itu akan dijadikan isi untuk didebatkan pada Perhimpunan Pergerakan Pemuda Umno 25 November ini.
September lepas, sebanyak RM320 juta diperuntukkan di bawah Pelan Transformasi Belia Negara, selain pengenalan kepada '1Malaysia Youth City', Skim Perumahan Belia dan Blueprint Negara Bersukan pada pembentangan Bajet 2015 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pada Karnival Genexter 2014 anjuran Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) di Dataran Putrajaya Sabtu dan Ahad lepas, Pergerakan Pemuda UMNO membuka kaunter pendaftaran bagi program Rumah Transit 1Malaysia.
Ia merupakan inisiatif Pemuda bagi membantu generasi muda yang baru mendirikan rumah tangga untuk mendapatkan tempat tinggal dengan kadar sewa berpatutan.
#azwan #emudan #gen Y #PWTC
;