Kita tidak berat sebelah isu peniaga bumiputera - DBKL
Astro Awani
September 27, 2014 07:50 MYT
September 27, 2014 07:50 MYT
"Tiada tindakan berat sebelah...para peniaga perlu mematuhi peraturan dan tempat berniaga yang dibenarkan. Jika ingkar kita akan mengambil tindakan untuk menyita dan mengalih barangan tersebut."
Itu maklum balas Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Mohd Amin Nordin Abd Aziz yang menyifatkan pihaknya tidak pernah bertindak kasar terhadap peniaga bumiputera di ibu kota.
Tegasnya, apa yang dilakukan adalah menguatkuasa undang-undang kepada mana-mana peniaga yang melanggar peraturan.
"Tindakan undang-undang tetap dikenakan terhadap peniaga yang didapati menyalahi peraturan tanpa mengira kaum dan agama," katanya.
Mohd Amin mengulas dakwaan pihak tertentu kononnya DBKL bertindak kasar dan bergaduh dengan seorang peniaga tanpa lesen di Taman Tasik Permaisuri.
Video berdurasi 2 minit 52 saat itu menjadi viral di laman media sosial.
Video itu pada mulanya memaparkan beberapa pegawai penguatkuasa DBKL mendekati gerai peniaga yang menjual minuman itu, dan menyatakan hasrat untuk menutup gerai itu.
Kelihatan seorang pegawai penguatkuasa memegang tangan peniaga itu dan peniaga itu menepis tangan penguatkuasa tersebut beberapa kali.
Pengurus Perancangan Korporat DBKL, Dr Ismail Stapa turut memberikan reaksi kepada video itu menjelaskan, pegawai penguatkuasa DBKL, yang dipaparkan di dalam sebuah video viral bergaduh dengan seorang peniaga tanpa lesen, hanya berbuat demikian untuk mempertahankan dirinya.
Dalam pada itu tambah Mohd Amin, pihaknya telah membuat laporan polis terhadap video yang disebarkan menerusi laman sosial itu yang dilihat bertujuan memburuk-burukkan imej DBKL.