'Kita tak nak berperang dengan sesiapa, dah tak boleh pakai'. Aset tentera perlu terkini
Hasimi Muhamad
Januari 16, 2022 12:12 MYT
Januari 16, 2022 12:12 MYT
KUALA LUMPUR: Kesiapsiagaan aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berada pada tahap memuaskan perlu dipandang serius kerana keadaan itu memberi ancaman kepada keselamatan perairan negara.
Pensyarah Undang-Undang Antarabangsa dan Pengajian Keselamatan UKM, Prof Madya Salawati Mat Basir berpandangan, pasukan keselamatan negara itu sepatutnya memiliki aset-aset yang berkualiti, berteknologi tinggi serta terkini dalam berhadapan sebarang konflik yang boleh menganggu gugat ketenteraman dan kedaulatan.
Tambahan pula, beliau berkata ancaman utama di Asia Tenggara ketika ini adalah aspek militan dan konflik Laut China Selatan.
"Ia memang akan memberi ancaman kepada keselamatan negara kerana gerakan kita perlu bertindak pantas dan cepat. Jika ada sebarang konflik yang boleh menggugat kestabilan dan kedaulatan negara yang berlaku di perairan Malaysia, kita boleh segera bertindak jika kita ada aset-aset yang terkini dan maju.
"Tetapi jika kita ada hanya pada tahap yang memuaskan, kemungkinan kita nak bertindak segera itu akan terbatas. Jadi, di situ akan dilihat lompang, maknanya rakyat akan kata kenapa lambat bertindak? Bukan lambat bertindak tetapi aset itu sendiri lambat digerakkan, tidak seperti aset-aset baharu yang lebih peka dan terkini," katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Ahad.
Terdahulu, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dilapor berkata masih terdapat banyak ruang dan usaha yang perlu dipertingkatkan bagi memastikan kesiagaan aset TLDM untuk mencapai tahap yang terbaik.
Jelas beliau, ketika ini secara purata kesiagaan aset TLDM masih berada di tahap yang memuaskan dan belum mencapai sasaran yang ditetapkan.
Mengulas lanjut, Salawati berkata jika ada aset-aset ketenteraan yang sudah mencecah lebih 30 tahun, ia tidak seharusnya digunakan lagi untuk menjaga perairan negara.
Dalam masa yang sama, beliau menambah kerajaan juga perlu menangani sebarang isu ketirisan yang melibatkan pembelian aset-aset pertahanan negara.
"... dan juga pada saya, Malaysia sendiri dikelilingi oleh laut. Jadi pada saya bukan sahaja dari segi pengsenjataan, kapal, satelit, latihan dan kapal selam... semuanya mesti berada pada tahap yang membanggakan.
"Ia tak boleh hanya satu aspek sahaja, penyelenggaraan misalnya... tak boleh. Semua mesti dalam keadaan yang stabil dan pihak TLDM tahu mana aset-aset mereka yang perlu dibuang, dibeli baharu atau aset-aset yang perlu dinaiktaraf dan sebagainya.
"Jadi, di situ pada saya kena ada tindakan segera daripada pihak kerajaan dan tidak berdalih-dalih. Saya rasa kita tak nak dengar lagi lah, kita tak nak berperang dengan sesiapa... dah tak boleh pakai (prinsip itu) pada ketika ini," ujarnya lagi.
Bagaimanapun, Salawati akui bahawa salah satu kekangan yang dihadapi pasukan keselamatan negara adalah melibatkan peruntukan oleh kerajaan.
Menerusi Bajet 2022, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) masing-masing diperuntuk dana sebanyak RM16 bilion dan RM17 bilion.
Sebanyak RM1.6 bilion diperuntuk bagi mempertingkat kesiagaan aset utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan RM14 juta untuk menggantikan peralatan utama Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan Pasukan Khas Udara (PASKAU) seperti payung terjun, alat selam litar tertutup serta bot.
Sementara bagi kebajikan anggota polis dan tentera, sebanyak RM230 juta disediakan untuk kerja menyelenggara sekolah dalam kem tentera, fasiliti ketenteraan dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera termasuk penggantian serta pembaikan lif kuarters Polis Diraja Malaysia.