Kita tak mahu konflik ketenteraan di Laut China Selatan - Mat Sabu

Hilal Azmi
Jun 7, 2018 23:58 MYT
Anggota TLDM mengambil kesempatan untuk berswafoto dengan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang turut diiringi Panglima Tentera Laut, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin - Foto BERNAMA
Malaysia menganggap kehadiran kapal perang asing di Laut China Selatan sebagai sesuatu yang tidak baik untuk negara.
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu memberitahu, semua pihak perlu menghormati pendirian Malaysia serta negara-negara jiran yang mengamalkan prinsip berkecuali.
"Semasa menghadiri Dialog Shangri-La (edisi ke-17 di Singapura baru-baru ini) yang dihadiri menteri pertahanan pelbagai negara, saya membangkitkan dan menegaskan bahawa Malaysia terus berjuang untuk menjadi sebuah negara berkecuali sejak zaman perdana menteri kedua lagi.
“Semua pihak perlu menghormati perairan kita dan juga perairan antarabangsa sebab kita tak mahu sebarang konflik ketenteraan berlaku di rantau ini khususnya di Laut China Selatan.
"Malaysia ada kepentingan ekonomi yang besar di perairan negara dalam Laut China Selatan iaitu perikanan dan minyak. Disebabkan itu, kita mahu laut tersebut aman sampai bila-bila," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama-sama 186 anak kapal di atas KD Mahawangsa dan beramah mesra selain mengedarkan bingkisan Aidilfitri.
Beliau dalam nada sebak turut merakamkan penghargaan kepada semua anggota TLDM yang dianggap sebagai wira negara atas pengorbanan dilakukan kerana terpaksa berjauhan daripada keluarga.
“Saya terharu berada di atas kapal TLDM berusia 37 tahun ini namun masih kukuh, dan saya selalu naik kapal nelayan yang kecil tetapi ini kapal besar.
“Saya nampak mereka gembira walaupun tinggalkan kampung halaman dan berada di samudera luas, berhari raya di kapal ini dan saya dapat lihat kemesraan dan kegigihan mereka berkhidmat untuk negara.
“Selamat Hari Raya dan syabas kepada anak muda kita, perajurit yang berkorban kepada negara, kamu wira sejati,” katanya.
#Mat Sabu #Mohamad Sabu #Panglima Tentera Laut #TLDM
;