Kita sudah mula beranjak ke politik pendamaian - Penganalisis

Israr Khalid
November 24, 2022 05:45 MYT
Rozhan berpendapat, Anwar tidak perlu membuktikan keabsahan pelantikannya kerana ia diputuskan oleh Agong dan beliau sudah pun selesai mengangkat sumpah jawatan secara sah. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pembentukan kerajaan perpaduan hari ini di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi persepsi yang membawa politik Malaysia kepada usaha kompromi dan pendamaian.
Penganalisis politik Dr Rozhan Othman merumuskan perkara itu berdasarkan keterbukaan Anwar untuk membawa usul undi percaya pada sidang Parlimen akan datang.
Ia susulan ada pihak yang mempertikaikan pelantikannya sebagai Perdana Menteri.
Rozhan berpendapat, Anwar tidak perlu membuktikan keabsahan pelantikannya kerana ia diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong dan beliau sudah pun selesai mengangkat sumpah jawatan di hadapan baginda secara sah.
“Jelas sekali, ia merupakan satu ‘fait accompli’ apabila beliau sendiri yang akan meminta Pakatan Harapan membawa usul tidak percaya itu.
“Jadi, persoalan sekarang ini, adakah mereka (Perikatan Nasional) ingin bersama-sama dalam proses pemulihan ini?" soalnya.
Rozhan berkata, beliau bimbang kerana dalam beberapa tahun ini, perkembangan politik Malaysia dilihat sebagai ‘zero-sum game’ iaitu perolehan kemenangan oleh satu pihak dengan menjatuhkan pihak yang lain.
Namun, hari ini katanya, negara telah melalui satu proses rekonsiliasi di mana yang menang tak menang semua dan yang kalah tak kalah semua, sepertimana yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Itu sebabnya kita ada perbahasan di dalam Parlimen. Bukan sekadar menjerit memekik tetapi berbahas dasar dan prosesnya itu, akhirnya akan membawa kepada kompromi dan pendamaian.
“Itu cara demokrasi berfungsi,” tambahnya.
Kita sudah mula beranjak ke politik pendamaian - Penganalisis Politik
#Malaysia Memilih #Anwar Ibrahim #PM10 #Rozhan Othman
;