Kita sakan 'Selawat Perdana' tetapi tidak mahu selamatkan Rohingya - Dr Maza

Astro Awani
Mei 16, 2015 14:07 MYT
DR MAZA: 'Kita sakan 'Selawat Perdana' tetapi tidak mahu selamatkan Rohingya' - Gambar fail
Musibah pelarian Rohingya yang mempertaruhkan nyawa di tengah lautan untuk mencari rezeki di negara berhampiran disifatkan sama seperti isu kehilangan 'rezeki' yang dialami syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, situasi itu dilihat dapat diatasi jika sikap sanggup melihat saudara Muslim mati kehausan dan kelaparan dapat dihapuskan.
"Sedih atas kekejaman sikap muslim yang sanggup melihat saudara muslim mereka mati kehausan dan kelaparan. Setelah umat Islam Rohingya dibunuh dengan rakus dan kejam di bumi mereka, mereka berhijrah mencari perlindungan di negara-negara umat Islam seperti kita. Malangnya, mereka diperlakukan demikian rupa.
"Tanpa ada belas ehsan kemanusiaan, apatah lagi ukhuwwah keagamaan. Sudahlah ketika ribuan mereka yang dibunuh dan disembelih oleh pengganas di Myanmar, suara negara ini tidak begitu lantang membela. Kali ini, sanggup pula melihat mereka mati dan terseksa.
"Jika musibah tidak menimpa mereka, tentu mereka juga tidak bergadai nyawa membelah badai. Namun, atas ketamakan kita, bimbang rezeki kita dikongsi orang, kita halau mereka bersabung nyawa di lautan. Kita lupa bahawa, jika Allah kehendaki rezeki yang di tangan pun boleh hilang. Lihat sahaja 1MDB. Ke mana rezeki itu telah pergi. Mayat pesawat yang terhempas di lautan yang hampir yakin mati masih kita cari, sedangkan yang masih hidup di lautan kita cuba biarkan mati. Di manakah kemanusiaan kita ini?!" katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya hari ini.
BACA: Isu tanah TRX: Beri jawapan untuk hilang kerisauan rakyat - Dr Maza
Dr Mohd Asri mengulas laporan media sebelum ini mengatakan terdapat lebih 8,000 pelarian Rohingya dari Myanmar serta Bangladesh dikesan berada di tengah laut dalam cubaan mereka untuk memasuki Malaysia secara haram.
BACA: ASEAN perlu bantu rakyat Rohingya - Naib Ketua Pemuda UMNO
Sebahagian daripada pelarian tersebut bagaimanapun dikesan telah hanyut ke Indonesia, menyebabkan pihak berkuasa kedua-dua negara mengambil langkah memperketatkan kawalan di perairan masing-masing.
BACA: Selamatkan rakyat Rohingya dan Bangladesh - Puteri UMNO
Tegas Dr Mohd Asri, kejadian itu benar-benar membimbangkan seandainya ia mengundang bala tuhan yang menakutkan.
"Sedangkan negara-negara Eropah yang tidak muslim itu pun, cuba menyelamatkan pelarian di lautan mereka, kita yang kononnya sakan 'salawat perdana' dengan ratusan ribu harga bayaran, sanggup melihat manusia mati di lautan demikian rupa kerana bimbang rezeki kita dikongsi orang. Kemudian, kita beritahu 'kita muslim terbaik'?!
"Kita amat bimbang, kerakusan dan ketamakan kita ini akan mengundang bala Tuhan yang menakutkan. Jika sebelum ini beberapa petanda bala demi bala datang kepada pentadbiran negara, atas sebab musabab yang hanya Tuhan Maha Ketahui apa yang telah berlaku dalaman mereka yang berkuasa. Namun, kehilangan kemanusiaan ini dibimbangi menjemputi kemurkaan Tuhan di lautan dan di daratan. Pohon perlindungan Allah untuk sekelian rakyat yang tidak bersalah," jelasnya.
BACA: "Di mana nilai kemanusiaan kita?"
Dalam pada itu Dr Mohd Asri turut mengucapkan tahniah kerana Acheh menjadi antara daerah yang memberi bantuan kepada pelarian Rohingya.
"Tahniah Acheh atas sikap kemanusiaan anda. Anda telah menyelamatkan maruah agama di mata dunia. Ketika dunia senyum; 'lihat muslim, mereka sendiri sanggup melihat sesama mereka mati', kesanggupan Aceh itu telah melindungi maruah umat ini," ujarnya.
#1MDB #Dr Maza #Rohingya
;