Kita perlu berubah kepada model gaji progresif - Pakar ekonomi
Israr Khalid
Januari 4, 2023 05:30 MYT
Januari 4, 2023 05:30 MYT
KUALA LUMPUR: Sudah sampai masanya Malaysia beralih dari model pemberian upah minimum kepada yang lebih bemaruah iaitu secara progresif.
Penganalisis ekonomi, Prof. Madya Mohd Yusof Saari berkata, ketika ini pertumbuhan ekonomi negara sudah semakin baik dan pembaharuan boleh dilaksanakan bermula dengan menyemak semula kadar gaji minimum.
Beliau berpendapat bahawa kadar upah RM1,500 tidak sesuai dengan keadaan ekonomi semasa dan majikan sebenarnya mampu membayar pekerja sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan.
“Pelaksanaan gaji minimum (sebenarnya) sedikit bermasalah kerana kalau kita letak RM1,500, majikan akan bayar ikut kadar itu walaupun mereka boleh bayar lebih,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Mohd Yusof memberi contoh pelaksanaan di Singapura di mana kerajaan negara itu menetapkan gaji yang diberi kepada pekerjanya adalah berdasarkan kelayakan dan kemahiran serta produktiviti.
“Di setiap firma, kerajaan Singapura sudah ada satu jadual gaji yang lengkap, kalau naik skil kepada tahap sekian maka gajinya adalah sekian dan mereka pantau.
“Pekerja pun tahu apa yang mereka perlu lakukan untuk naik tangga gaji. Jadi ini yang perlu kita lihat dan (model sedia ada) perlu diubah.”