Kita patut 'phuii' geng Isis Malaysia 69 - Armand

Wan Syamsul Amly
Februari 17, 2015 17:50 MYT
ARMAND: Kita patut 'phuii' geng Isis Malaysia 69 - Gambar fail
Rakaman video yang menunjukkan empat lelaki yang mengugut hendak membakar mercun di hadapan mahkamah kerana tidak percaya kepada sistem keadilan negara membuktikan tahap cetek akal kumpulan itu sendiri kepada masyarakat.
Exco Pemuda Umno, Armand Azha Abu Hanifah berkata, ia sekali gus boleh membangkitkan perasaan tidak senang rakyat kepada tindakan itu yang sengaja hendak merosakkan keamanan negara.
"Biarlah apa juga maksud kumpulan ini, sama ada hendak berlawak atau amaran melalui laman YouTube, mereka ini dilihat tidak memikirkan apa akibatnya tindakan itu kepada keharmonian negara.
"Memang isu ini bukan boleh dibawa main-main. Ia serius dan jika dibiarkan, lebih banyak video seumpama ini akan timbul dan menyusahkan semua," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Rakaman video Anak Muda Malaysia yang mengugut hendak membakar mercun di hadapan mahkamah - Sumber YouTube Isis Malaysia 69
Armand mengulas video berdurasi kira-kira 1.01 minit yang dimuat naik di YouTube pada Isnin yang memberi amaran akan mengadakan bantahan terhadap sistem keadilan mahkamah dengan membakar mercun di hadapan mahkamah.
Salah seorang daripada ahli kumpulan yang menggelarkan diri sebagai Anak Muda Malaysia terbabit turut dilihat memegang gambar pelakon Nora Danish ketika rakaman.
Pada 2011, Armand menggegarkan negara dengan rakaman video dengan aksi meludah.
Ia dikatakan ditujukan kepada pemimpin mahasiswa, Adam Adli yang menurunkan bendera wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Selain itu, Armand turut kelihatan di beberapa video di laman YouTube yang bertujuan memberi amaran kepada beberapa parti pembangkang negara ini.
Dalam pada itu ketika ditanya apakah bezanya tindakan Armand dengan 'Isis Malaysia 69', ini katanya;
"Pada waktu itu kita buat dengan menunjukkan muka kerana mempertahankan Presiden Umno dan bendera dengan wajahnya dipijak.
"Manakala isu 'Geng Cetek Akal' ini adalah mereka tidak menerima keputusan Mahkamah Persekutuan yang telah menjatuhkan keputusan kepada individu tertentu yang mereka pertahankan."
Video Armand yang mengugut hendak meludah mahasiswa yang menurunkan bendera wajah Najib di PWTC pada tahun 2011 - Sumber YouTube AFGHAN ALI
Pada Selasa, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Mortadza Nazarene berkata, Bukit Aman sedang menyiasat rakaman video mengandungi ugutan daripada kumpulan berkenaan.
Katanya, polis akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat kes ini.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan melakukan sesuatu aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen.
#Armand #ISIS #Pemuda UMNO #YouTube
;