Kita mengecewakan Tun Razak - Chandra Muzaffar

Madiha Abdullah
Mac 9, 2022 23:31 MYT
Kejayaan dan keselesaan dimiliki negara membuatkan ramai pemimpin selepas Tun Abdul Razak tidak mempunyai semangat sepertinya. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: "Kita sudah mengecewakan Tun Razak."
Itu pandangan yang disuarakan Pengerusi Pergerakan Keadilan Sejagat (JUST), Dr Chandra Muzaffar yang melihat kejayaan dan keselesaan dimiliki negara membuatkan ramai pemimpin selepas Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein, tidak mempunyai semangat sepertinya.
"Generasi selepas Tun Razak, mereka tidak dapat meneruskan idea, keghairahan dan komitmen yang dimiliki beliau. Jika anda bertanya kepada saya, ia merupakan satu situasi yang kompleks dan sukar diperjelaskan dengan ringkas.
"Tetapi saya mahu menggariskan dua faktor, kerana kejayaan kadang-kadang mempunyai kesan yang dipanggil detaining effect. Apabila bercakap tentang mengekalkan perubahan, saya tidak fikir masyarakat kita berusaha untuk melakukannya dengan lebih baik.
"Mereka tidak mahu atau tiada semangat meneruskan perjuangan beliau kerana keadaan selepas itu seolah-olah baik-baik saja, melihat pada pertumbuhan ekonomi pasca pertengahan 70an, ramai merasakan mereka tidak perlu beri tumpuan kepada menyambung perjuangan terdahulu," katanya dalam sesi webinar berjudul Tun Razak: His Eleven Outstanding Achievements.
Jelasnya, generasi hari ini juga dilihat tidak mempunyai tahap penghargaan yang tinggi kepada pemimpin terdahulu, mungkin disebabkan faktor kurang pemahaman dan penghayatan terhadap sejarah.
"Kita ambil contoh Datuk Onn Jaafar, adakah kita masih mengingati beliau, masih mengakui dan menghargainya sumbangannya?
"Tunku (Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj) selalu menyebut ini, beliau sentiasa berterima kasih kepada Datuk Onn, kerana itu jalan ke pejabat perdana menteri dahulu dikenali sebagai Jalan Dato Onn.
"Secara umumnya, masyarakat kita kurang rasa penghargaan, cenderung melupakan jasa dan pengorbanan generasi terdahulu kerana leka dan tidak memahami sejarah," katanya lagi.
#Dr Chandra Muzaffar #Tun Abdul Razak Hussein #Perdana Menteri #Datuk Onn Jaafar #pemimpin politik
;