Kita Melayu meruntuhi Melayu... bercakaran sesama Melayu - Isteri Zahid
Eka Roslee
Oktober 18, 2018 16:04 MYT
Oktober 18, 2018 16:04 MYT
Sifat berselisih dan bertelingkah serta saling menjatuhkan sesama bangsa Melayu mendapat perhatian isteri kepada Presiden UMNO, Datin Seri Hamidah Khamis.
Dalam satu pesanan suara yang dikongsi kepada pengamal media oleh Hamidah hari ini, beliau meluahkan rasa terkilan terhadap sikap menuding jari sesama sendiri dalam kalangan pucuk pimpinan.
“Kita Melayu memusuhi Melayu. Kita Melayu meruntuhi Melayu. Bercakaran sesama Melayu. Bangsa dan agama hancur," luahnya.
Tambahnya lagi, pemimpin sebelumnya sudah hidup dalam keluarga berusia 61 tahun yang berjenamakan UMNO, namun persoalannya: "Mengapa perlu dilenyapkan parti itu?"
Tambahnya lagi, kerajaan hari ini sepatutnya meneruskan sahaja perjuangan sedia ada yang pastinya ada kurang dan lebih.
"Adalah lebih elok diatasi dengan baik tanpa menuding jari mencari kesilapan," ujarnya lagi.
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dipanggil pada 11 Oktober lalu bagi membantu siasatan atas dakwaan penyelewengan dana sebuah yayasan dan telah diberikan notis serah diri untuk hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini.