Kita kecam pembunuhan juruterbang Jordan oleh IS - Kementerian Luar Negeri
Astro Awani
Februari 5, 2015 14:54 MYT
Februari 5, 2015 14:54 MYT
Kerajaan mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman dan tindakan keganasan IS terhadap pembunuhan seorang juruterbang Jordan pada Selasa.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan menjelaskan, negara terkejut dengan tindakan kejam IS yang membakar sehingga mati juruterbang Tentera Udara Jordan, Leftenan Pertama Maaz al-Kassasbeh.
"Maaz ditangkap selepas jet pejuang beliau dijatuhkan di Hamra Ghannam, Syria.
"Pembunuhan kejam ini adalah manifestasi amalan ganas dan tidak berperikemanusiaan IS terhadap kemanusiaan sejagat," kata kenyataan itu.
Laporan stesen televisyen Amman berkata Maaz telah terbunuh pada 3 Januari, sebelum IS membuat tawaran pertukaran dengan Rishawi.
Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama turut mengecam pembunuhan itu yang jelas menunjukkan peribadi IS yang "jahat dan gasar."
Jelas kenyataan itu, negara turut menyampaikan ucapan simpati serta takziah kepada keluarga Maaz dan Kerajaan Jordan.
"Semoga keluarganya diberikan kekuatan untuk menghadapi saat-saat getir yang berlaku ini," ujar kenyataan itu.
Sebelum ini, militan IS mendedahkan sebuah video pada Selasa yang dikatakan memaparkan Maaz dibakar hidup-hidup di dalam sangkar, dalam tindakan paling kejam oleh kumpulan ini terhadap tebusan asing.
Video 22 minit itu menunjukkan imej seorang lelaki yang dikatakan Maaz yang ditangkap pada bulan Disember diselubungi api yang marak.
Bagaimanapun, Jordan kemudian melaksanakan hukuman mati ke atas dua tahanan dipercayai militan IS pada subuh hari Rabu selepas bertekad membalas dendam terhadap pembunuhan seorang juruterbang negara itu, kata jurucakap kerajaan Mohammad al-Momani.